Friday, November 28, 2008

SUMBANGAN ARTIKEL DARI PEMBACA

Assalamualaikum WBT dan Salam Sejahtera,

Saya mengalu-alukan sumbangan artikel dari pembaca sekalian untuk di muatkan dalam blog kpsepanggar.

Pembaca bolehlah kirimkan artikel dan kalau boleh sertakan foto sekali ke mojowid@gmail.com.

Saya harap artikel berbentuk aduan masalah kawasan, pendapat dan buah fikiran untuk penyelesaian. InsyaAllah saya akan terbitkan untuk tatapan pengunjung blog ini.

Kerjasama pembaca sangat saya harapkan.

MJ

Tuesday, November 25, 2008

JALAN YS. KG. KIBAGU, IMPIAN DAN HARAPAN

Pendahuluan

Kg Kebagu dan Kg Numbak Kuala Menggatal merupakan dua buah kampung tradisi yang terletak di Daerah Kota Kinabalu di kawasan Dewan Undangan Negeri N.12 Karambunai dan Parlimen P.171 Sepanggar.

Kg Kebagu mempunyai kira-kira 45 buah rumah dan penduduk dianggarkan seramai 300 orang. Di kampung ini terdapat sebuah sebuah sekolah rendah yang menampung keperluan penduduk Kg Kebagu dan Kg Numbak.

Sejak pemindahan penduduk Kg Sabang, Kg Lok Madas, Kg Lok Buta dan Kg Lok Poring ke Kg Numbak akibat pembinaan Pengkalan Tentera Laut Sepanggar, Kg Numbak terbahagi kepada 3 bahagian iaitu: Bahagian pertama adalah rumah asal dan rumah skim penempatan Ko-Nelayan yang mengandungi 210 buah rumah. Bahagian kedua adalah penempatan semula penduduk Kg Sabang, Kg Lok Madas dan Kg Lok Buta yang mengandungi sebanyak 433 buah rumah. Manakala bahagian ketiga pula adalah penempatan semula penduduk Kg Lok Poring yang mengandungi sebanyak 138 buah rumah. Ketiga-tiga bahagian di Kg Numbak ini dianggarkan mempunyai penduduk seramai 4500 orang.

Sebelum dihubungkan oleh jalan raya penduduk kedua-dua kampung ini menggunakah pengangkutan laut dan sungai untuk pergi ke Kota Kinabalu dan Pekan Menggatal melalui Sungai Menggatal dan Sungai Unggun.

Kini, satu-satunya jalan yang menghubungkan kampung ini dengan jalan besar ialah Jalan YS Kg Kibagu ke Sulaman Highway.

Jalan inilah yang menjadi nadi utama untuk menghubungkan kedua-dua kampung ini dengan Pekan Menggatal dan Bandaraya Kota Kinabalu di mana penduduk kampung bekerja, berniaga dan mendapatkan bekalan keperluan harian. Biarpun begitu masih ada juga penduduk yang masih menggunakan laluan laut terus ke Bandaraya Kota Kinabalu terutamanya golongan nelayan yang menghantar terus hasil tangkapan mereka.

Biarpun jalan yang sedia ada kurang memuaskan dan memerlukan penyelenggaraan dari masa ke semasa akibat sering rosak oleh penggunaan yang kerap, Keadaan ini semakin bertambah buruk apabila tiba musim hujan. Jalan licin di bahagian curam dan becak teruk di bahagian rendah.

Tidak cukup dengan itu, ibarat jatuh ditimpa tangga, ibarat parah ditambah luka, perbuatan yang tidak bertanggungjawab pemaju dan kontraktor 1Borneo melonggokkan tanah dan bahan buangan sisa binaan di sepanjang jalan tersebut semakin menjadi-jadi. Kegiatan ini telah berlaku sejak mula pembinaan megamall tersebut.

KES

Kegiatan membuang tanah dan sisa bahan binaan(konkrit, batu, besi, kayu dan lain-lain) di sepanjang jalan ke Kg. Kibagu dan Kg. Numbak Kuala Menggatal.

Persoalan:

Adakah pemaju 1Borneo mendapat kebenaran dari pihak berkenaan berbuat demikian seperti dari Dewan Bandaraya Kota Kinabalu(DBKK), Jabatan Perlindungan Alam Sekitar(JAS) dan pemilik tanah tersebut(samada tanah kerajaan atau persendirian)?Ini kerana alasan pekerja yang ditemui membuang tanah di situ menyatakan tanah tersebut dibuang ke situ untuk meninggi dan meratakan kawasan tersebut atas permintaan tuan tanah.

Akibatnya:

Lori besar yang mengangkut muatan tanah dan sisa binaan bangunan tersebut telah merosakkan jalan kampung menyebebkan jalan tersebut sukar dilalui oleh kenderaan biasa. Keadaan semakin buruk pada musim hujan.

Muncul pula kegiatan sampingan setinggan yang tinggal di sekitar kawasan binaan 1Borneo. Antaranya ialah kegiatan mencari besi dan papan buangan. Besi dikutip untuk dijual manakala kayu dan papan digunakan untuk membina rumah setinggan.

Timbunan tanah yang banyak akan dihanyutkan ke sungai berhampiran apabila musim hujan. Kejadian ini akan menyebabkan sungai semakin cetek dan sempit mengakibatkan banjir sering berlaku di kawasan berkenaan.

TERJEJAS

kes yang dilakukan oleh pemaju dan kontraktor 1Borneo telah menjejaskan perhubungan penduduk kampung dengan bandar dan pekan terdekat. Penduduk yang terjejas ialah:

Kg Kebagu 45 buah rumah, Kg Numbak Skim Penempatan Ko-Nelayan 200 buah rumah
Kg Numbak Penempatan Kg Sabang,Lok Buta,Lok Madas 33 buah rumah, Kg Lok Poring 138 buah

JUMLAH 816 BUAH RUMAH

Anggaran bilangan penduduk yang terjejas 5000 orang

HARAPAN

1. Projek menaiktaraf jalan ini akan segera dilaksanakan oleh kerajaan berdasarkan keperluan dan keadaan yang semakin mendesak. Sistem perhubungan yang baik ini diharapkan akan dapat memperbaiki ekonomi dan produktiviti masyarakat kampung yang terlibat dengan pendapatan isi rumah yang semakin meningkat kerana peluang pekerjaan dan perbiagaan semakin terbuka luas.

2. Pemaju dan kontraktor 1Borneo segera menghentikan kegiatan yang tidak bertanggungjawab mereka dan membaiki kerosakan yang telah dilakukan sementara projek menaik taraf jalan tersebut dilaksanakan oleh pihak kerajaan.

3. Kewujudan Kompleks Membeli belah mega 1Borneo akan memberi impak yang positif kepada perkembangan sosio ekonomi masyarakat setempat seperti peluang pekerjaan dan perniagaan.

(Artikel ini saya pernah terbitkan dalam www.cebagoo.today.com pada 12 Mac 2008 dengan tajuk Jln. YS Kg. Kibagu Menderita. Artikel ini adalah gambaran pada ketika itu. Kini, setelah 1Borneo telah siap dan beroperasi masalah lori kontraktor 1Borneo telah selesai. Tetapi MASALAH BARU IALAH KEGIATAN LORI PROJEK TAPAK BINAAN HOSPITAL DAN SEKOLAH PERUBATAN UMS yang mengangkut tanah menggunakan jalan tersebut mengakibatkan jalan rosak teruk)

SOAL SELIDIK


Assalamualaikum WBT dan salam sejahtera.

Apa khabar saudara pembaca sekalian?

Saya harap saudara sihat di samping keluarga dan lancar menjalankan tugasan harian.

Di sudut sebelah kanan artikel ini saya muatkan beberapa soal selidik untuk mendapatkan respon dari saudara pembaca sekalian.

Jawapan-jawapan yang saudara berikan akan dapat memberi gambaran kepada saya untuk menentkan program dan aktiviti yang sesuai dengan aspirasi generasi muda dan khususnya ahli pemuda UMNO di bahagian ini. Penyesuaian program dan kehendak golongan sasar amat perlu bagi memastikan program yang dilaksanakan tidak tersasar dari matlamat sebenar.

Saya mohon kerjasama pembaca sekalian untuk memberikan undian terhadap soal selidik tersebut.

"ANDA ADALAH PENENTU"

MJ

Monday, November 24, 2008

BARISAN AHLI JAWATNKUASA PEMUDA UMNO SEPANGGAR 2008-2011

(Gambar semasa Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Sepanggar 2006 dan Majlis Pelancaran Putera UMNO Bahagian Sepanggar yang telah disempurnakan oleh Ybga. Dato' Hj. Abd. Rahman Datuk Dahlan, Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia)

Asslamualaikum dan salam sejahtera.

Terlebih dahulu saya ucapkan tahniah kepada semua barisan jawatankuasa yang telah terpilih dalam pemilihan Pemuda UMNO Bahagian Seanggar pada 12hb Oktober 2008 lalu.

Terima kasih juga saya ucapakan kepada salah seorang perwakilan pemuda dari Cawangan Kg. Darau yang telah menghantar komen ke artikel pertama saya dalam blog ini. Tetapi malangnya beliau tidak mencatatkan namanya dalam komen tersebut, hanya tercatat sebagai 'anonymous' sahaja.

Dalam komen tersebut, beliau harapa disenaraikan nama Ahli Jawatan Kuasa baru Pemuda UMNO Sepanggar untuk memudahkan para ahli merujuk barisan baru tersebut.

Bukan saya tidak mahu mencatatkan dalam blog kpsepanggar ni, tapi saya bercadang mahu menerbitkan artikel tersebut bersama gambar terbaru jawatankuasa tersebut. Namun sehingga kini belum sempat mendapatkan gambar lengkap. Masih ada perkara yang perlu saya pertimbangkan untuk melengkapkan barisan jawatankuasa tersebut terutamanya berkaitan dengan jawatan lantikan.

Walaubagaimanapun rasanya tidak salah kalau saya catatkan sahaja di sini nama AJK baru dengan gambar barisan AJK lama. Lagipun kebanyakan barisan AJK lama masih lagi mengekalkan jawatan mereka. Cuma beberapa orang sahaja AJK yang baru yang menggantikan AJK yang telah melebihi usia 40 tahun ke atas.

Saya mengambil kesemepatan merakamkan khidmat bakti dan dedikasi AJK-AJK lama seperti Asri Abd Mali(Bendahari), Derasin Hj Supang(Setiausaha), Ludin Edin(K. Penerangan), Mahmor Hj. Salleh, Zainuddin Puddin dan Jester@Jefri.

BARISAN AJK PEMUDA UMNO BAHAGIAN SEPANGGAR

Ketua Pemuda:
MOHD JOH HJ. WID

Naib Ketua Pemuda:
MOHD RAZALI MOHD RAZI

AJK:
  1. HAINIE ABD. MUIN
  2. ARSHAD HJ. MENTAMIN
  3. HAMID TAUJI
  4. ROHAN SAPRI
  5. RAHMAT RASHID
  6. HARADIN TOTUH
  7. MATNUL MADHALTAR
  8. AMINUDIN JAAFAR
  9. MATLAN HJ. TAMAN
  10. LASSIM JANI
  11. MOHD JAIDI LANGGANI
  12. MUTALID SALLEH
  13. SYAIFUL AZLANY PUDDIN
  14. ALIUDIN MAHDAR
  15. YAHYA MAINI

Wednesday, November 19, 2008

KAMPUNG SAYA











Di sini saya kongsi bersama pembaca tentang kampung halaman saya iaitu Kg. Kibagu Kuala Menggatal. Kampung ini terletak lebih kurang 19km dari bandar Kota Kinabalu yang dihubungkan oleh sebatang jalan raya yang agak daif.

Simpang masuk ke jalan kampung bermula dari 1Borneo(lebih kurang selepas 100 meter melepasi bangunan Mall) sebelah kiri jika dari arah KK ke Tuaran. Dari simpang tersebut bermulalah perjalanan mencabar sepanjang 7KM hingga ke kampung.

Sebelum tiba ke kampung saya, saudara akan melalui beberapa buah kampung iaitu Kg. Penampang Baru, Kg. Suang Parai, Kg. Binolung, Kg. Begoon, Kampung Numbak dan Kg. Selimbangun.

Kg. Suang Parai, Kg. Binolung dan Kg. Begoon sudah tidak wujud sekarang kerana telah termasuk ke dalam kawasan UMS. Penduduk asal telah ditempatkan ke perumahan bersebelahan Kg. Penampang Baru dan Kg. Delima Melayu.

Terdapat lebih kurang 5,000 orang penduduk yang tinggal di Kg. Numbak(di sini terdapat penempatan penduduk Kg. Sabang, Kg. Lok madas dan Lok Buta yang dipindahkan kerana kampung asal mereka dijadikan pengkalan tentara laut) dan Kg. Selimbangun(di sini pula ditempatkan perumahan Ko-Nelayan), termasuklah Kg. Kibagu.

Bayangkan dengan jumlah penduduk seramai ini yang menjadi pengguna jalan tersebut... Inilah jalan yang dilalui oleh penduduk untuk ke tempat kerja dan ke sekolah.

Keadaan bertambah rumit apabila tiba musim hujan. Terdapat beberapa bahagian yang becak teruk menjadikannya agak sukar dilalui oleh kenderaan kecil. Kadangkala berlaku tanah runtuh di bahagian lereng bukit. Jika keadaan ini berlaku, penduduk terpaksan tinggalkan kenderaan di mana ia 'sangkut' dan terpaksa berjalan kaki berkilometer jauhnya untuk sampai ke rumah.

Namun keadaan ini terpaksa diharungi kerana inilah hakikatnya 'kampung pedalaman di dalam bandar'. Ia lebih baik daripada keadaan kami ketika bersekolah dahulu..Kampung ini dihubungkan dengan kawasan pekan dan bandar KK dengan menaiki bot.

Bila tiba di Kg. Kibagu anda akan lupa sejenak debaran yang dirasai ketika mengharungi perjalanan tadi. Sebaik sahaja kereta menuruni bukit terakhir anda akan tergamam seketika melihat pantai yang menyambut ketibaan anda.

Suatu ketika dahulu pantai ini mempunyai pasir yang putih dan bersih. Namun kini keadaan sudah banyak berubah. Pantai ini telah mengalami hakisan yang teruk akibat terdedah kepada fenomena ombak besar yang kerap berlaku sejak akhir-akhir ini.

Bukan sekadar pantai tersebut yang menjadi mangsa, penduduk kampung juga terpaksa mencari perlindungan di kawasan bukit apabila menerima amaran air pasang dan angin kuat dari pihak berkuasa.

Biarpun begitu, kami damai di sini. Keadaan cemas dan getir hanya sebahagian kecil dari kebanyakan masa yang ada. Ketika air tenang, bulan mengambang atau ketika matahari terbit dan terbenam...Membuatkan kami lupa kepayahan hidup yang dilalui setiap hari. Penduduk yang bekerja sebagai nelayan tetap tabah menghadapi hari-hari tersebut. Ketenangan inilah yang membuatkan kami terus tabah dan sentiasa percaya bahawa 'harapan masih ada di hadapan'.

Teruskan perjuangan!








Monday, November 17, 2008















ISI UCAPAN SAYA KETIKA MERASMIKAN MESYUARAT PERWAKILAN PEMUDA UMNO SEPANGGAR 2008


Saya telah menggariskan plan pengukuhan UMNO dan BN dalam menghadapi cabaran pembangkang dalam konteks Negeri Sabah:

1. Kembalikan UMNO kepada Rakyat

a. Tiada penafian hak mana-mana ahli untuk:

- Bertanding dalam pemilihan parti

- Bersuara untuk memperkukuhkan parti

b. Pastikan UMNO diterima semua rakyat

- Pada asasnya tujuan penubuhan UMNO bukan sahaja untuk memperjuang dan melindungi hak orang melayu, tetapi juga untuk memastikan orang melayu boleh berkompromi dengan kaum lain.

- Ini bererti, UMNO akan terus kuat bukan hanya dengan sokongan orang melayu, tetapi ia juga memerlukan sokongan kaum lain.

- Untuk itu, kekalkan struktur BN seperti sedia ada berdasarkan system parti komponen. Ini mengelakkan masalah dalam sebuah parti komponen tidak akan menjejaskan BN secara keseluruhan.

- Permasalahan lebih baik disuarakan di dalam perbincangan kelompok BN itu sendiri, bukan dari luar(mengulas tindakan SAPP)

c. Berikan tumpuan pada rakyat luar Bandar dan desa

- Kaji semula pelaksanaan projek mega yang kurang berimpak tinggi dan salurkan peruntukan tersebut ke kawasan luar bandar dan desa.

2. Posisikan Sabah

a. Sebagai kawasan pertumbuhan dan pembangunan utama

- Penekanan terhadap sistem pelaksanaan SDC secara berkesan

- Sabah mampu menjadi peneraju ekonomi nasional

b. Tampilkan pemimpin sabah ke arena politik nasional

- Dalam kedudukan kita menjadi tulang belakang kerajaan Barisan Nasional. Jika selama ini kita menerima rakan dari negeri lain memimpin kita, ini masanya kita perlu diterima memimpin rakan lain sebagai pemimpin nasional. wajar pemimpin dari Sabah diposisikan:

i. Dalam pemilihan parti

ii. Dalam cabinet persekutuan

c. Sebagai contoh ‘Negeri Perpaduan’

- Dalam menghadapi cabaran ‘Perpaduan Nasional’, negeri-negeri di semenanjung patut belajar dari rakyat Sabah bagaimana mengurus hubungan antara rakyat berbilang kaum dan agama.


12hb Oktober 2008

Dewan ILP Sepanggar 9.00 pagi



Sunday, November 16, 2008

www.kpsepanggar.blogspot.com Maklumat Aktiviti Saya

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Pertama sekali saya mengucapkan selamat melayari blog kpsepanggar yang khusus saya bangunkan untuk berkongsi maklumat berkenaan aktiviti saya sebagai ketua pemuda umno sepanggar bagi sesi 2008-2011.

Dalam kehangatan penggunaan blog sebagai medium terkini yang semakin popular, saya tidak mahu ketinggalan berkongsi dengan saudara-saudara tentang maklumat yang saya perolehi untuk dikongsi bersama melalui blog.

Saya akan berusaha melaporkan segala aktiviti saya sebagai KP melalui penulisan ringkas agar saudara-saudara dapat mengikuti perkembangan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sepanggar. Mungkin gaya penulisan saya tidak begitu menarik, tetapi saya berharap dengan bantuan gambar-gambar yang saya sertakan akan memudahkan pembaca mendapat gambaran yang jelas berkenaan sesuatu program.

Telah lama saya terfikir untuk membangunkan sebuah blog sebagai lidah rasmi menyalurkan segala maklumat yang saya perolehi. Malah, saya pernah mencuba membangunkan blog peribadi di www.cebagoo.today.com untuk menyalurkan maklumat tentang kekurangan di kampung halaman saya, Kg. Kibagu Kuala Menggatal. Saya memikirkan berkenaan masa yang banyak diperlukan untuk menyelenggara sesebuah blog .

Menyelenggara sesebuah blog bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Ia memerlukan peruntukan masa yang cukup selain memerlukan bahan dan idea untuk disampaikan dalam bentuk penulisan yang menarik.

Tetapi kini, rasanya saya telah bersedia untuk memenuhi tuntutan tersebut berdasarkan keperluan semasa yang semakin mendesak. Usaha mendekati generasi muda melalui medium terkini seperti ini amat dituntut. Bukan sekadar blog, mendaftar menjadi ahli facebook, friendster atau hi5 juga salah satu cara meluaskan rangkaian yang tidak terbatas bagi mencari golongan sasar. Jika usaha ini tidak diteroka, maka kita akan tertinggal dalam kerancakan teknologi.

Walaupun demikian, usaha mendekati golongan sasar melalui gerakan 'turun padang' tetap diteruskan bagi mengetahui secara 'first hand' maklumat sebenar yang berlaku di peringkat akar umbi.

Saya mohon kerjasama saudara-saudara untuk memberi input dan komen yang membina ke dalam blog ini untuk kebaikan bersama. Saya bersedia menerima keritikan dari saudara-saudara sekalian. Bak kata orang "Jangan berumah di tepi pantai kalau takutkan ombak..".

Salam Perjuangan,

"SEPAKAT BERKHIDMAT"

Saturday, November 15, 2008



MESYUARAT PERTAMA UMNO BAHAGIAN SEPANGGAR
Perkuatkan UMNO Menghadapi SAPP di Sepanggar

Pertama sekali saya merakamkan tahniah kepada Jumat Hj. Idris(lebih mesra dengan panggilan CHIEF) kerana telah terpilih sebagai Ketua Bahagian UMNO Sepanggar dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sepanggar pada 8hb Nov 2008 lalu. Begitu juga kepada Ykub Khan dan Puan Hajah Zaitun Dtuk Hj Kassim yang masing-masing telah terpilih sebagai Timbalan Ketua Bahagian dan Naib Ketua Bahagian dan seluruh barisan AJK.

Tahniah juga kepada Jawatnkausa lantikan: Mohd Razali Razi (Setiausaha), Datuk Hj Arshad Hj Idris(Bendahari), Tuan Hj. Mentoh Aru(Ketua Penerangan), Pn. Normah Alip, Tuan Hj. Amir Hamzah OT Arif dan Basri Ag. Besar@Usup(AJK).

Mesyuarat pertama UMNO Bahagian Sepanggar di bawah pimpinan Ketua Bahagian Encik Jumat Hj. Idris baru sahaja berlangsung di Balai Raya Kg. Darau Laut pada jam 9.30 pagi tadi.

Pemilihan Kg. Darau sebagai tempat pertama kerana UMNO bermula dari kampung dan kekuatan UMNO juga berada di kampung. Langkah ini merupakan satu penghargaan kepada rakyat akar umbi yang selama ini meletakkan UMNO pada asas kekuatan yang kukuh.

Beberapa polisi yang diketengahkan oleh Jumat yang menarik minat saya ialah:
i. Polisi tiada kumpulan. Yang telah terpilih memegang jawatan dalam pemilihan yang lalu atas ketentuan Tuhan, kepada yang dikekalkan adalah satu pengiktirafan ke atas tugas yang perlu diteruskan manakala yang baru menerima jawatan adalah ujian untuk menunjukkan kebolehan. Sesungguhnya pemberian itu adalah satu amanah yang perlu dipikul. Yang terpilih ini tidak akan dikategorikan sebagai kumpulan yang berbeza. Khidmat mereka diperlukan sebagai satu pasukan untuk sama-sama berkhidmat kepada ahli dan rakyat.
ii. Perlantikan pengerusi biro dan AJK berdasarkan kepada merit. Setiap Ahli Jawatan Kuasa perlu mengemukakan kertas cadangan berdasarkan pengetahuan dan pengalaman masing-masing untuk dinilai bagi memudahkan Ketua Bahagian membuat agihan tugas.

Tiga perkara yang perlu diambil perhatian atas pesanan YAB Timbalan Presiden UMNO, Dato' Sri Mohd Najib Tun Abd Razak ialah:
i. Kenapa ahli UMNO benci UMNO dalam PRU12 lepas dan beberapa negeri tumbang ke tangan pembangkang.
ii. Kenapa pengundi benci BN hingga majoriti kurang.
iii. Bagaimana cara dekati pengundi muda.

Sebagai Ketua Pemuda, secara spesifik kita telah ditugaskan menggalas tugasan perkara yang ketiga, iaitu bagaimana mendekati golongan muda.

Seperti penggal lalu, untuk operasi menghadapi PRU12, pemuda akan meneruskan usaha menambah ahli UMNO dan program daftar pemilih bersama Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) secara khusus menyasar kepada pengundi baru.

Kedua-dua program ini diteruskan dengan suntika elemen-elemen baru. Penggunaan ICT adalah medium tambahan yang akan digunakan untuk berkomunikasi secara dua hala dengan golongan muda. Medium ini bukan sekadar dapat meliputi golongan muda dalam kawasan, tapi juga golongan muda di luar negeri dan negara. Namun demikian, amalan turun padang bertemu ahli muda di pelusuk kampung masih menjadi gerakan utama bagi mengenalpasti permasalahan sebenar di peringkat akar umbi.

Dalam mesyuarat pertama ini Ketua Bahagian telah menyatakan cabaran utama UMNO Sepanggar ialah menghadapi saingan SAPP. Rata-rata menyatakan bahawa Sepanggar adalah kubu utama SAPP kerana kerusi Parlimen dikuasai oleh SAPP dan presiden SAPP juga mempunyai pengaruh luas di kawasan ini.

Untuk itu, tumpuan harus diberikan untuk memenangi kepercayaan rakyat bukan sahaja kepada UMNO tetapi juga kepada BN. Dengan menjadi agen yang berkesan kepada kerajaan maka UMNO Sepanggar mampu menggalas amanah tersebut. Insya Allah.