Sunday, November 16, 2008

www.kpsepanggar.blogspot.com Maklumat Aktiviti Saya

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Pertama sekali saya mengucapkan selamat melayari blog kpsepanggar yang khusus saya bangunkan untuk berkongsi maklumat berkenaan aktiviti saya sebagai ketua pemuda umno sepanggar bagi sesi 2008-2011.

Dalam kehangatan penggunaan blog sebagai medium terkini yang semakin popular, saya tidak mahu ketinggalan berkongsi dengan saudara-saudara tentang maklumat yang saya perolehi untuk dikongsi bersama melalui blog.

Saya akan berusaha melaporkan segala aktiviti saya sebagai KP melalui penulisan ringkas agar saudara-saudara dapat mengikuti perkembangan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sepanggar. Mungkin gaya penulisan saya tidak begitu menarik, tetapi saya berharap dengan bantuan gambar-gambar yang saya sertakan akan memudahkan pembaca mendapat gambaran yang jelas berkenaan sesuatu program.

Telah lama saya terfikir untuk membangunkan sebuah blog sebagai lidah rasmi menyalurkan segala maklumat yang saya perolehi. Malah, saya pernah mencuba membangunkan blog peribadi di www.cebagoo.today.com untuk menyalurkan maklumat tentang kekurangan di kampung halaman saya, Kg. Kibagu Kuala Menggatal. Saya memikirkan berkenaan masa yang banyak diperlukan untuk menyelenggara sesebuah blog .

Menyelenggara sesebuah blog bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Ia memerlukan peruntukan masa yang cukup selain memerlukan bahan dan idea untuk disampaikan dalam bentuk penulisan yang menarik.

Tetapi kini, rasanya saya telah bersedia untuk memenuhi tuntutan tersebut berdasarkan keperluan semasa yang semakin mendesak. Usaha mendekati generasi muda melalui medium terkini seperti ini amat dituntut. Bukan sekadar blog, mendaftar menjadi ahli facebook, friendster atau hi5 juga salah satu cara meluaskan rangkaian yang tidak terbatas bagi mencari golongan sasar. Jika usaha ini tidak diteroka, maka kita akan tertinggal dalam kerancakan teknologi.

Walaupun demikian, usaha mendekati golongan sasar melalui gerakan 'turun padang' tetap diteruskan bagi mengetahui secara 'first hand' maklumat sebenar yang berlaku di peringkat akar umbi.

Saya mohon kerjasama saudara-saudara untuk memberi input dan komen yang membina ke dalam blog ini untuk kebaikan bersama. Saya bersedia menerima keritikan dari saudara-saudara sekalian. Bak kata orang "Jangan berumah di tepi pantai kalau takutkan ombak..".

Salam Perjuangan,

"SEPAKAT BERKHIDMAT"

No comments:

Post a Comment