Wednesday, October 14, 2009

TEKS UCAPAN SAYA SEMASA MEMBAHAS USUL TERIMA KASIH DI ATAS UCAPAN DASAR KETUA PEMUDA UMNO


TEKS UCAPAN PERBAHASAN
WAKIL PERGERAKAN PEMUDA UMNO NEGERI SABAH
MEMBAHAS USUL TERIMA KASIH DI ATAS UCAPAN DASAR KETUA PEMUDA UMNO MALAYSIA DI DALAM PERHIMPUNAN AGUNG PEMUDA 2009

BISSMILLAH HIRRAHMAN NIRRAHIM
Tuan Pengerusi Tetap Persidangan,
YB Ketua Pemuda, YB Dato’ Naib Ketua Pemuda, Barisan Exco, Wakil Ahli Majlis Tertinggi, Ketua Pemuda UMNO Negeri Sabah, Ketua-ketua Pemuda UMNO Negeri, serta Sidang Perwakilan sekalian.

ASSALAMUALAIKUM WBT

1. Saya MOHD JOH HAJI WID perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sepanggar, mewakili Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sabah memohon izin untuk mengambil bahagian dalam sesi perbahasan membahas Usul Terima Kasih di atas Ucapan Dasar Yang Berhormat Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di dalam Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO Tahun ini.

Pantun dibaca pembuka kata
adat Melayu bahasanya indah
Izinkan saya membuka bicara
membawa suara rakyat Sabah

2. Kehadiran rombongan perwakilan UMNO Negeri Sabah ke Perhimpunan Agung tahun ini mempunyai makna yang amat besar bagi kami. Bersama kami dalam rombongan ini menyeberangi Lautan China Selatan ialah seorang Naib Presiden UMNO, 3 orang Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Ketua Puteri UMNO Malaysia, dua orang Exco Pergerakan Wanita, dua orang Exco Pergerakan Pemuda dan 2 orang Exco Pergerakan Puteri yang telah dinobatkan ke jawatan tersebut oleh sebahagian besar ahli perwakilan dari negeri-negeri lain di Tanah Semenanjung.

3. Ini merupakan pengiktirafan yang sangat besar kepada UMNO Negeri Sabah. Ia mengingatkan saya kepada kenyataan YB Dato’ Sri Hishammudin Tun Hussein, mantan jeneral kita, bahawa “Sudah sampai masanya ahli-ahli politik dari Sabah diposisikan dalam arus perdana politik nasional”. Ternyata kenyataan ini bukan hanya kata-kata retorik untuk menyedapkan hati perwakilan UMNO Sabah bagi mendapatkan undi, tetapi satu kenyataan yang penuh tekad dan bermakna. Rombongan besar kami ini adalah bukti bahawa rakan-rakan di Tanah Semenanjung dengan ikhlas mengiktiraf Sabah untuk memikul peranan yang lebih besar. Kami bukan sahaja diiktiraf mengurus UMNO di negeri sendiri, tetapi diiktiraf mengurus UMNO secara keseluruhan di peringkat pusat.

4. Usaha memposisikan Sabah dalam arus perdana politik nasional tidak cukup sekadar di situ. Malah dalam kabinet Persekutuan juga, Sabah telah diberikan peranan yang penting dengan 4 jawatan Menteri dan 5 jawatan Timbalan Menteri.

5. Saya mengambil kesempatan merakamkan jutaan terima kasih di atas pengiktirafan dan kepercayaan terhadap kepimpinan rakyat Sabah di Dalam UMNO dan kerajaan yang telah diberikan oleh YAB Perdana Menteri dan rakan-rakan lain di sini.

6. Senario politik di negeri Sabah ketika ini agak tenang tetapi rancak. Apa tidaknya, dengan pengiktirafan dan tanggungjawab yang kami sedang pikul ini, kami perlu melipat kali gandakan usaha untuk mengekalkan kepercayaan yang telah kami terima. Tambahan pula, jolokan ”Simpanan Tetap” Barisan Nasional yang telah diberikan oleh YAB Perdana Menteri terhadap Sabah membuatkan kami begitu teruja untuk membuktikan kemampuan memberikan yang terbaik kepada rakyat.

7. Sebab itu, YAB Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Hj Aman meletakkan kedudukan jentera parti UMNO dan Barisan Nasional pada keadaan seoalah-olah kami sedang berada dalam zon Pilihan Raya. Setiap usaha dan gerak, setiap langkah dan gempur ketika ini telah menjurus kepada kepentingan dan keutamaan rakyat. Usaha kami menghadapi Pilihan Raya tidak dimulakan pada hari esok, atau minggu depan atau bulan depan, apatah lagi tahun depan. Tetapi kami telah mulakan sejak hari, minggu dan bulan-bulan yang lalu. Sebagai strategi menjayakan operasi tersebut, Pergerakan Pemuda UMNO Sabah telah melancarkan slogan ”Rakan Pembela Rakyat”.

8. Begitulah kesungguhan kami menghadapi cabaran politik semasa, seperti yang dikatakan oleh YAB Timbalan Presiden semalam iaitu proses transformasi dan bentuk politik baru khususnya bagi menjuarai segmen pengundi muda. Sesungguhnya mengurus kejayaan lalu merupakan cabaran yang sangat hebat.

9. Ini kerana, masih banyak lagi agenda yang perlu diperjuangkan untuk rakyat di negeri Bawah Bayu. Dengan keluasan sebagai negeri yang ke-2 terbesar dan bilangan penduduk yang ke-3 ramai di Malaysia, kami masih memerlukan pembelaan dan usaha yang lebih gigih untuk menaik taraf :
· Pendidikan Luar Bandar
· Kemudahan Asas dan Infrastruktur
· Bekalan Elektrik dan Air Bersih
· Sitem Perhubungan dan Pengangkutan yang Baik, serta
· Kemudahan Kesihatan

10. Sementara itu dari sudut Pendapatan Perkapita [Setahun], negeri Sabah, secara puratanya adalah RM11,323 [2008]. Berbanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia, Sabah adalah ke-2 terendah selepas Kelantan. Namun jika dikurang sebanyak 30% daripada jumlah pendapatan tersebut [berasaskan kepada kos perbelanjaan terhadap barangan keperluan asas yang begitu tinggi di Sabah, berbanding dengan negeri-negeri lain, jumlah sebenarnya pendapatan perkapita negeri Sabah ialah RM7, 926. Ini bermakna, pendapatan perkapita sebenar negeri Sabah adalah lebih rendah berbanding dengan pendapatan perkapita negeri Kelantan sebanyak RM8, 638.

11. Fakta ini menunjukkan indikasi yang jelas betapa jurang pendapatan negeri Sabah berbanding negeri lain yang berpendapatan perkapita yang tinggi RM39, 283 di Malaysia begitu melebar sekali iaitu dengan perbezaan RM31, 357.

Untuk itu, saya berharap dalam bajet 2010 yang aan dibentangkan pada minggu hadapan akan memberi perhatian terhadap usaha menyamakan harga barangan antara di sabah dan Sarawak dan negeri-negeri di Semenanjung.

12. Tuan Pengerusi Tetap Persidangan serta Para Perwakilan yang saya hormati sekalian,

13. Sekalipun cabaran tersebut sentiasa membayangi kami, namun kami berkeyakinan tinggi dapat menghadapinya dan seterusnya mengekalkan kecemerlangan kami.

14. Gagasan 1Malaysia ”Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” bakal menjadi senjata ampuh untuk meletakkan semula keyakinan rakyat kepada UMNO yang menunjangi kerajaan Barisan Nasional.

15. Lebih-lebih lagi konsep dan falsafah gagasan ini telah lama menjadi sebahagian dari budaya hidup kami. Pernyataan ”Kesatuan Dalam Kepelbagaian” atau ”Unity in Diversity” [Dengan izin], dalam Halatuju Pembangunan Negeri Sabah membawa semangat dan pengertian yang sama.

16. Di Sabah, kami tidak perlu meletakkan diri kami ke dalam diri orang lain untuk kami memahami kehendak dan sensitiviti mereka. Sebaliknya begitu juga diri orang lain tidak perlu cuba memahami diri kami. Ini kerana kami telah saling memahami dan menghormati titik-titik perbezaan dan menerima titik persamaan sebagai pengikat. Malah, tidak kira ia satu perbezaan atau persamaan identiti etnik, ia tetap dipelihara sebagai satu aset atau kelebihan yang kami banggakan. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa ’SABAH adalah Wajah Sebenar 1Malaysia’.

17. Tuan Pengerusi Tetap Persidangan dan Saudara Perwakilan Sekalian,

18. Dalam mengharungi cabaran menjaga Simpanan Tetap BN di Sabah, kami turut terkesan dan terpanggil untuk bersama meletakkan BN di landasan asal. Sejarah dan pengalaman politik kami di Sabah membuatkan kami sedar dan bermuhasabah diri betapa kami masih memerlukan ’Gerakan Bersatu’ bersama rakan-rakan lain di Tanah Semenanjung. Bersesuaian dengan Pindaan Perlembagaan yang bakal memperlihatkan pelebaran kuasa kepada lebih ramai ahli dan slogan Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan... saya mohon mencadangkan agar kita bawa Perhimpunan Agung UMNO ini ke setiap ibu negeri di seluruh Malaysia secara bergilir-gilir. Kita bawa aura dan gema kebangkitan kita setelah membuktikan kejayaan di Bagan Pinang ke seluruh negeri. Biar rakyat terasa akan kebersamaan ini agar perjuangan UMNO meresap ke setiap sanubari mereka.

19. Jika cadangan ini dapat diterima, maka saya cadangkan agar Negeri Sabah menjadi destinasi pertama Perhimpunan Agung UMNO di Luar Kuala Lumpur.

20. Menyentuh soal 5 Rukun Pemuda iaitu: Pemuda Bersatu, Pemuda Berprinsip, Pemuda Inklusif, Pemuda Relevan dan Pemuda Proaktif, saya tertarik untuk menyentuh salah satu daripada rukun tersebut iaitu BERSATU. Kita seolah-olah bermasalah dengan perkataan ini. Kita melaungkan perkataan yang sama, tetapi kita mempunyai tafsiran yang berbeza terhadap makna perkataan tersebut. Kita hanya akan mengakui makna perkataan BERSATU apabila maknanya berpihak kepada kita. Sebaliknya, kita menolak maknanya jika BERSATU itu berpihak kepada orang lain.

21. Bagaimana kita menjayakan Rukun lain jika kita masih bercanggah penghayatan terhadap makna BERSATU? Malah kita akan mengelirukan pengikut kita, apatah lagi anak-anak muda yang baru kita dekati. Apa maknanya Pindaan Perlembagaan yang bakal memberi ruang yang luas kepada orang muda secara keseluruhan jika kita dilihat ’retak menanti belah’.

22. Untuk itu, kita perlu kembali kepada institusi kita iaitu institusi PEMUDA. Institusi ini punya semangat dan rohnya yang tersendiri. Selagi kita berpegang kuat kepada prinsip institusi, selagi itu kita relevan dalam perjuangan ini. 1 institusi 1 Ketua.

23. Akhir sekali, ajari kami erti perjuangan sebenar dalam UMNO.


Wallahu alam.
Sekian terima kasih.
Sabah mohon menyokong.

Sunday, October 11, 2009

WAKIL JURUCAKAP PEMUDA UMNO SABAH


Salam kepada pembaca budiman.

Saya akan mewakili Pemuda UMNO Negeri Sabah membahas ucapan dasar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di dalam Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang akan berlangsung di Putra Worl Trade Centre(PWTC) pada 14 Disember 2009 ini.

Di antara perkara yang saya akan bangkitkan dalam ucapan saya ialah:

  • Sabah dalam arus perdana politik nasional
  • Sabah sebagai 'Simpanan Tetap BN'
  • Sabah adalah 'Wajah Sebenar 1Malaysia'
  • Pindaan Perlembagaan dan politik pemuda
  • Pentingnya penghayatan terhadap Rukun Pemuda ke-5 iaitu 'BERSATU'
Semoga suara Pemuda UMNO Sabah dalam perbahasan tahun ini akan mendapat perhatian dalam memastikan pembelaan terhadap rakyat Sabah terus menjadi agenda terpenting kerajaan.

Mohon restu daripada pembaca sekalian agar saya diberikan keyakinan dan kekuatan menyampaikan ucapan dalam perbahasan tersebut.

Terima kasih.

Sunday, September 20, 2009

SALAM AIDILFITRI


Saya serta keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin buat semua pengunjung www.kpsepanggar.blogspot.com

Semoga Ramadhan yang telah berlalu telah memberikan kita hikmah dan keberkatan yang berpanjangan dan semua amalan kita diterima oleh Allah SWT.

Sambutlah bulan kemenangan Syawal ini bersama keluarga tercinta. Namun di samping itu jangan dilupakan orang lain yang kurang bernasib baik.

Akhir kata sekali lagi saya hulurkan tangan mohon ampun dan maaf kiranya ada terkhilaf sepanjang perkenalan dan pergaulan.

Bersama kita jayakan gagasan "1 Malaysia"

MOHD JOH HJ WID
INELDA OCTAVIANY ZAINAL
MUHAMMAD I'ZZ MOHD JOH
MUHAMMAD IAN MOHD JOH

Wednesday, September 16, 2009

PENUBUHAN MALAYSIA


Pengenalan

Selepas Perang Dunia Kedua, pihak Inggeris, Ketua Menteri Singapura dan tokoh-tokoh politik Semenanjung Tanah Melayu telah mencadangkan gabungan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, Singapura dan Brunei. Walaupun ada beberapa cadangan, penubuhan Malaysia menjadi realiti apabila Tunku Abdul Rahman Putera al-Haj dalam upacaranya di Persidangan Wartawan-wartawan Luar Negeri di Singapura pada 27 Mei 1961 mencadangkan supaya Persekutuan Tanah Melayu, Brunei, Sabah dan Sarawak disekutukan menjadi sebuah persekutuan. Cadangan ini menjadi titik permulaan penting bagi penubuhan Malaysia. Malaysia telah dibentuk pada 16 September 1963.


Faktor-faktor

Ada beberapa faktor yang menyebabkan penubuhan Malaysia. Antaranya ialah:


Perkembangan Polisi di Singapura

· Pembentukan Malaysia bertujuan menentang kegiatan Komunis.

· Komunis telah merampas pucuk pimpinan Parti Tindakan Rakyat yang menguasai Singapura

sejak tahun 1959.

· Perkembangan pengaruh Komunis di Singapura membimbangkan Tunku Abdul Rahman.

Beliau bimbang pengaruh Komunis akan merebak ke Tanah Melayu dan Singapura dan akhirnya

dikuasai oleh Komunis.


Perkembangan Politik di Sarawak

· Pengaruh Komunis berkembang di Sarawak.

· Liga Belia Demokratik Cina Seberang Laut yang berhaluan Komunis ditubuhkan.

· Pertubuhan Komunis Sulit – Persatuan Belia Maju Sarawak bergerak di kalangan kesatuan sekerja, pelajar dan petani.


Keseimbangan Kaum

· Penggabungan Tanah Melayu dan Singapura akan menimbulkan masalah.

· Ketidakseimbangan kaum kerana 75% penduduknya terdiri daripada kaum Cina.

· Perkembangan ini akan menggugat kedudukan dan keistimewaan orang Melayu di Tanah Melayu.

· Tunku Abdul Rahman mencadangkan kemasukan wilayah-wilayah Borneo yang mempunyai kaum Bumiputera yang ramai untuk mengimbangi kadar kaum di Malaysia.


Kemajuan Ekonomi Bersama

· Perkembangan ekonomi tidak seimbang di wilayah-wilayah Borneo, Tanah Melayu dan Singapura.

· Penubuhan Malaysia yang meliputi wilayah-wilayah tersebut akan mewujudkan kerjasama dalam bidang ekonomi.


Mempercepatkan Kemerdekaan

· Wilayah-wilayah Borneo dan Singapura belum mencapai kemerdekaan ketika cadangan penubuhan Malaysia.

· British berjanji akan memberi kemerdekaan awal sekiranya wilayah-wilayah Borneo dan Singapura bercantum dengan Tanah Melayu membentuk Semenanjung Malaysia.


Reaksi Sinagpura, Sabah dan Sarawak

· Pungutan suara menunjukkan 71.1% daripada rakyat Singapura menyokong penubuhan Malaysia.

· Pemimpin-pemimpin Sabah dan Sarawak menentang Gagasan Malaysia.

· Persidangan Persatuan Parlimen Komanwel telah diadakan untuk memberi peluang kepada wakil-wakil Sabah dan Sarawak berbincang tentang Gagasan Malaysia dengan wakil Tanah Melayu dan Singapura.

· Persidangan ini telah melahirkan Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia untuk memberi penerangan dan mengumpul maklumat mengenai penubuhan Malaysia.


Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia (JPPM)

· Ditubuhkan pada 23 Julai 1961.

· Tujuan JPPM ialah

a. Memberitahu orang ramai tentang penubuhan Malaysia.

b. Mengumpul maklumat mengenai sambutan orang ramai terhadap penubuhan Malaysia.

c. Menyediakan dan mengemukakan satu memorandum mengenai pembentukan Malaysia.

d. JPPM meyakinkan pemimpin-pemimpin Sabah dan Sarawak tentang kebaikan Malaysia.

e. Memorandum JPPM mendapat sokongan padu daripada penduduk Sabah, Sarawak, Singapura dan Tanah Melayu.


Suruhanjaya Cobbold

· Tunku Abdul Rahman telah berangkat ke London pada bulan Oktober 1961 untuk mendapatkan sokongan Kerajaan British.

· British bersetuju dengan penubuha Malaysia tetapi hendak mengumpulkan pendapat dan sambutan penduduk Sabah dan Sarawak terhadap Malaysia.

· Suruhanjaya Cobbold ditubuhkan oleh British untuk meninjau pendapat rakyat Sabah dan Sarawak dan membuat syor-syor perlembagaan setelah mendapat pandangan rakyat.

· Laporan Suruhanjaya Cobbold telah disiapkan dan mengesahkan bahawa 80% daripada rakyat Sabah dan Sarawak menyokong Malaysia.

· Jawatankuasa Cobbold telah mengesyorkan penubuhan Jawatankuasa Antara Kerajaan untuk merangka Perlembagaan Malaysia.


Jawatankuasa Antara Kerajaan (JAK)

· JAK mengeluarkan laporan pada 27 Februari 1963 dan dibentangkan di Majlis Sarawak dan Sabah.

· Kedua-dua Majlis menerima dan meluluskan laporan JAK dan seterusnya diluluskan oleh Parlimen Tanah Melayu dan menjadi Akta Malaysia 1963.

· Mengikut laporan PBB, lebih 70% daripada rakyat Sabah dan Sarawak menyokong penubuhan Malaysia.


Penutup

· Pengisytiharaan Malaysia dibuat secara rasminya pada 16 September 1963.

· Hasil gabungan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura.

· Walau bagaimanapun, pada 9 Ogos 1965, Tunku Abdul Rahman telah mengumumkan penarikan Singapura dari Malaysia.

· Akhirnya Malaysia hanya terdiri daripada Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.



Sumber:

http://www.geocities.com/cominglucky/s6tema3.htm

Monday, September 14, 2009

PROGRAM JEJAK PEJUANG KE GALERI TUN MUSTAPHA














14 September 2009: Program Jejak Pejuang di Galeri Tun Mustapha yang terletak di Bangunan Tun Mustapha Teluk Likas dianjurkan oleh Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sepanggar dengan kerjasama Galeri Tun Mustapha. Seramai 100 orang eserta lawatan terdiri daripada pelajar tahun 6 SK Pg Siti Hafsah Karambunai dan SK Darau Menggatal.

Lawatan ini diadakan sempena sambutan Bulan Kemerdekaan yang ke 52 dan sambutan Hari Penubuhan Malaysia ke 46 pada 16 September 2009. Jejak pejuang kali ini membawa pelajar mengenali lebih dekat seorang tokoh pemimpin besar Negeri Sabah yang digelar 'Bapa Kemerdekaan'.

Saya berharap lawatan ini akan memudahkan pelajar memahami perjuangan yang telah dilalui oleh Allahyarham Tun Mustapha dan rakan-rakan pemimpin lain sehingga berjaya memerdekakan Negeri Sabah.

Program ini terbahagi kepada dua segmen iaitu lawatan bahan pameran di galeri dan tayangan video korporat Yayasan Sabah dan video Galeri Tun Mustapha.

Selain pelajar beberapa orang guru pengiring dari kedua buah sekolah juga turut serta. Saya merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak SK Pg Siti Hafsah Karambunai dan SK Darau Menggatal kerana sudi menyertai lawatan tersebut.

Semoga lawatan ini akan meningkatkan semangat patriotisma di kalangan pelajar dan memahami erti perjuangan seorang negarawan dengan harapan mereka akan menjadi pemimpin yang memahami aspirasi rakyat disuatu hari kelak.

Marilah kita sedekahkan Surah Ummul Kitab AL-FATIHAH kepada Allahyarham Tun Datu Hj Mustapha Datu Harun semoga rohnya dicucuri Rahmat. Amin.

Salam perjuangan, selamat Hari Kebangsaan dan menyambut Hari Malaysia.

Saturday, September 12, 2009

KD Tun Abdul Rahman Akan Tiba di Sepanggar






Pada 17 September 2009 ini satu lagi sejarah tercatat apabila kapal selam pertama negara yang dinamakan KD Tunku Abdul Rahman (KDTAR) akan tiba di Pengkalan Tentera Laut Sepanggar. 

KDTAR yang tiba ke Malaysia pada 3 September lepas di Pulau Indah, Pelabuhan Klang disambut oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin yang disertai Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Kapten Yang Dipertua TLDM, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Turut hadir ialah Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Azizan Ariffin, Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan juga anggota keluarga anak kapal KD TAR.

KD TAR adalah antara dua kapal selam baru jenis Scorpene yang ditempah oleh kerajaan pada 2002 dengan kos pembelian berjumlah RM3.4 bilion. Ia dibina secara bersama oleh DCNS dari Perancis dan Navantia, syarikat pembuat kapal selam dari Sepanyol.

Sebuah lagi, yang dinamakan KD Tun Razak, akan ditauliahkan pada Oktober ini dan dijangka tiba di Malaysia pada Mac tahun depan.

Pembelian ini adalah sebahagian usaha negara memastikan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara dari sebarang ancaman.

Ini merupakan hadiah kepada rakyat Malaysia sempena sambutan penubuhan Malaysia yang ke 46 tahun.

KDTAR mempunyai kemampuan peperangan 3 dimensi iaitu; bawah permukaan, aras permukaan dan anti udara. Kemampuan ini bakal mempertingkatkan kemampuan pertahanan negara. Sebagai sebuah negara maritim, 80% ekonomi Malaysia bergantung kepada perdagangan laut. Peningkatan kemampuan pertahanan ini akan dapat meningkatkan kepercayaan dan keyakinanpelabur asing untuk berdagang dengan Malaysia. Tambahan pula Malaysia telah mencapai status 'Blue Water Navy' kerana keadaan  perairannya yang terkawal.

Sebagai rakyat Malaysia, tambahan lagi ia bakal ditempatkan di Sepanggar, saya turut merasa bangga. Harapan saya agar kehadiran KDTAR akan membawa impak positif terhadap perkembangan ekonomi dan pembangunan negara seterus melimpahkan kemakmuran di Bahagian sepanggar.



Tuesday, February 3, 2009

SEKITAR SIARAN LANGSUNG PROGRAM 'GENERASI Y' DARI UITM KOTA KINABALU






Generasi Y adalah rancangan bual bicara(talk show) khusus untuk remaja yang dikendalikan oleh pelakon dan pengacara terkenal Awal Ashaari melalui saluran TV1 pada 31hb Januari 2009 jam 3.00pm lalu. Rancangan yang bersiaran secara langsung ini pertama kali menemui penonton dari luar tanah semenanjung. Kali ini UiTM Kampus Kota Kinabalu menjadi lokasi.

Saya bersama seorang lagi ahli panel jemputan iaitu Saudara Abu Sufian Abdul Halikun membincangkan topik "Remaja dan Hiburan". Program ini agak santai dengan diselitkan persembahan kumpulan band Sasuka yang berasal dari Kota Kinabalu.

Bagi pembaca yang tidak berkesempatan menonton rancangan tersebut, InsyaAllah saya akan siarkan sedutan-sedutan perbincangan dalam blog ini sebaik saja mendapat salinan dari pihak RTM.

Terima kasih kepada RTM kerana bersiaran dari Kota Kinabalu dan memberi peluang kepada saya sebagai pemimpin pemuda membincangkan topik yang berkait rapat dengan remaja. 

Program ini memberi mesej kepada saya bahawa pemimpin belia perlu lebih 'sporting' dalam menangani remaja masa kini.

mj

Saturday, January 31, 2009

MUHAMMAD IZZ MASUK SEKOLAH, MUHAMMAD IAN LAHIR




Dalam penantian hari kelahiran cahaya mata kami yang kedua, pada 5 Januari 2009 putera pertama kami, Muhammad Izz mula masuk sekolah. Tidak sedar Izz yang lahir pada 31 May 2006 hampir mencecah umur 3 tahun.

Alhamdulillah, pada 22 Januari 2009 tepat jam 10.09am di Sabah Medical Centre(SMC) isteri saya telah selamat melahirkan putera kedua kami yang kami berikan nama MUHAMMAD IAN.

Kelahiran Ian menambahkan seri keluarga kami..tidak ketinggalan kegembiraan bagi abangnya Muhammad Izz.

Terima kasih kepada pihak SMC terutamanya Datuk Dr. Ajaz Nabijan serta pemantu-pembantunya.

Begitu juga kepada kedua keluarga, sanak saudara dan rakan-rakan di Sabah atau Jakarta yang mendoakan keselamatan dan kesejahteraan keluarga kami.

Semoga kelahiran putera kedua ini dirahmati Tuhan. Amin.


Monday, January 26, 2009

HAPPY CHINESE NEW YEAR 2009
GONG XI FA CAI
May The New Year Bring Peace, Prosperity and Happiess
From:
MOHD JOH HJ WID
and
FAMILY

Thursday, January 8, 2009

EKONOMI DUNIA- Siapa Yang Terjejas?

Siapakah yang sebenarnya yang terjejas secara langsung akibat krisis ekonomi dunia yang dihadapi sekarang ini? Adakah;

1. Orang kampung yang bekerja sebagai nelayang dan petani?

2. Kakitangan awam dan swasta?

3. Peniaga kecil-kecilan?

4. Kontraktor dan pembekal?

5. Syarikat dan korporat besar?

Dalam komposisi penduduk negara kita bilangan yang ramai ialah golongan 1 dan 2 iaitu nelayan, petani dan pekerja yang makan gaji.

Tidak dapat dinafikan krisis ekonomi yang melanda dunia ketika ini akan memberi tempias kepada semua pihak. Bezanya, pihak manakah yang akan terjejas 'secara langsung' sehingga impaknya ketara kelihatan seterusnya mengubah struktur operasi harian.

Turun naik ekonomi, hasil tangkapan nelayan dan tanaman petani tetap sama, mungkin meningkat seiring dengan kehendak memenuhi keperluan pengguna yang semakin bertambah. 

Bilangan tangkapan dan hasil tanaman serta keperluan makanan setiap isi rumah tidak kenal kesan ekonomi. Dalam keadaan sempit macam manapun, rakyat pasti akan kekalkan nisbah makanan harian, malah bertambah jika isi rumah bertambah dengan kadar kelahiran yang semakin meningkat.

Begitu juga dengan kakitangan awam yang bekerja dengan kerajaan. Mereka akan tetap menerima gaji yang sama dan menikmati kenaikan tahunan tidak kira ekonomi dunia naik atau turun. Begitu juga kakitangan swasta, gaji tidak turun, mungkin jika syarikat itu terjejas teruk, ia akan tutup. Tapi jumlah yang termasuk dalam kes ini tidak ramai.

Kesan ekonomi dunia ini hanya membebankan secara langsung pihak kerajaan dan syarikat korporat besar.

Rakyat di kampung tidak faham apa yang sebenarnya maksud 'kejatuhan ekonomi' ini. Bagaimana sistem kewangan dan pasaran saham jatuh merudum.

Contohnya semasa kenaikan harga minyak pada tahun lepas sehingga ke paras RM2.70 seliter (kini telh turun ke RM1.80 seliter), rakyat di kampung sebenarnya tidak kisah sangat tentang kenaikan harga minyak tersebut. Apa yang mereka khuatiri ialah jalan kampung mereka yang teruk. 

Bagi mereka jika jalan itu baik mereka tidak perlu menggunakan minyak dengan banyak. Bererti mereka lebih memerlukan jalan perhubungan yang baik dari turun naik harga minyak.

Ini bermakna, rakyat tidak perlu phobia sangat dengan 'ekonomi dunia jatuh', perkataan yang popular di media masa.

Apa yang berlaku dengan menghangatkan berita 'harga minyak naik' dan 'ekonomi dunia jatuh' ini akan dijadikan alasan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab mencelah ruang untuk mengaut keuntungan. Ini sebenarnya yang menjejaskan rakyat. Mereka akan menimbulkan pelbagai spekulasi yang membawa kepada penderitaan rakyat secara tidak langsung.

Walaupun demikian, teori mudah untuk menghadapi situasi ini, atau dalam apa jua keadaan dan apa juga pekerjaan kita, TABUNGAN KELUARGA atau PERIBADI perlu diutamakan bagi menghadapi situasi keperluan yang mendesak. Jika tidak mempunyai tabungan, situasi ekonomi baik dan makmur pun kita bisa pening. 

TiNGKATKAN AMALAN MENABUNG

Sekian.

MJ

Wednesday, January 7, 2009

MAAF, KOMPUTER TERJANGKIT VIRUS. SELAMAT TAHUN BARU

Saudara pembaca sekalian,

Lama tidak bersua dalam halaman ini. Banyak peristiwa terlepas sepanjang ketiadaan komputer, rosak terkena virus.

Saya terlepas ucapkan selamat menyambut Hari Natal kepada semua rakan-rakan yang beragama Kristian, Hari Tahun Baru Hijrah 1430 kepada semua umat Islam dan Tahun Baru Masihi 2009 kepada semua rakyat Malaysia.

Biarpun sudah telewat saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapakan:

SELAMAT HARI NATAL

SELAMAT TAHUN BARU HIJRAH 1430

SELAMAT TAHUN BARU 2009

Semoga tahun bar ini kita mendapat apa yang dihajati.

Salam dari saya,

JOH WID