Sunday, September 20, 2009

SALAM AIDILFITRI


Saya serta keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin buat semua pengunjung www.kpsepanggar.blogspot.com

Semoga Ramadhan yang telah berlalu telah memberikan kita hikmah dan keberkatan yang berpanjangan dan semua amalan kita diterima oleh Allah SWT.

Sambutlah bulan kemenangan Syawal ini bersama keluarga tercinta. Namun di samping itu jangan dilupakan orang lain yang kurang bernasib baik.

Akhir kata sekali lagi saya hulurkan tangan mohon ampun dan maaf kiranya ada terkhilaf sepanjang perkenalan dan pergaulan.

Bersama kita jayakan gagasan "1 Malaysia"

MOHD JOH HJ WID
INELDA OCTAVIANY ZAINAL
MUHAMMAD I'ZZ MOHD JOH
MUHAMMAD IAN MOHD JOH

Wednesday, September 16, 2009

PENUBUHAN MALAYSIA


Pengenalan

Selepas Perang Dunia Kedua, pihak Inggeris, Ketua Menteri Singapura dan tokoh-tokoh politik Semenanjung Tanah Melayu telah mencadangkan gabungan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, Singapura dan Brunei. Walaupun ada beberapa cadangan, penubuhan Malaysia menjadi realiti apabila Tunku Abdul Rahman Putera al-Haj dalam upacaranya di Persidangan Wartawan-wartawan Luar Negeri di Singapura pada 27 Mei 1961 mencadangkan supaya Persekutuan Tanah Melayu, Brunei, Sabah dan Sarawak disekutukan menjadi sebuah persekutuan. Cadangan ini menjadi titik permulaan penting bagi penubuhan Malaysia. Malaysia telah dibentuk pada 16 September 1963.


Faktor-faktor

Ada beberapa faktor yang menyebabkan penubuhan Malaysia. Antaranya ialah:


Perkembangan Polisi di Singapura

· Pembentukan Malaysia bertujuan menentang kegiatan Komunis.

· Komunis telah merampas pucuk pimpinan Parti Tindakan Rakyat yang menguasai Singapura

sejak tahun 1959.

· Perkembangan pengaruh Komunis di Singapura membimbangkan Tunku Abdul Rahman.

Beliau bimbang pengaruh Komunis akan merebak ke Tanah Melayu dan Singapura dan akhirnya

dikuasai oleh Komunis.


Perkembangan Politik di Sarawak

· Pengaruh Komunis berkembang di Sarawak.

· Liga Belia Demokratik Cina Seberang Laut yang berhaluan Komunis ditubuhkan.

· Pertubuhan Komunis Sulit – Persatuan Belia Maju Sarawak bergerak di kalangan kesatuan sekerja, pelajar dan petani.


Keseimbangan Kaum

· Penggabungan Tanah Melayu dan Singapura akan menimbulkan masalah.

· Ketidakseimbangan kaum kerana 75% penduduknya terdiri daripada kaum Cina.

· Perkembangan ini akan menggugat kedudukan dan keistimewaan orang Melayu di Tanah Melayu.

· Tunku Abdul Rahman mencadangkan kemasukan wilayah-wilayah Borneo yang mempunyai kaum Bumiputera yang ramai untuk mengimbangi kadar kaum di Malaysia.


Kemajuan Ekonomi Bersama

· Perkembangan ekonomi tidak seimbang di wilayah-wilayah Borneo, Tanah Melayu dan Singapura.

· Penubuhan Malaysia yang meliputi wilayah-wilayah tersebut akan mewujudkan kerjasama dalam bidang ekonomi.


Mempercepatkan Kemerdekaan

· Wilayah-wilayah Borneo dan Singapura belum mencapai kemerdekaan ketika cadangan penubuhan Malaysia.

· British berjanji akan memberi kemerdekaan awal sekiranya wilayah-wilayah Borneo dan Singapura bercantum dengan Tanah Melayu membentuk Semenanjung Malaysia.


Reaksi Sinagpura, Sabah dan Sarawak

· Pungutan suara menunjukkan 71.1% daripada rakyat Singapura menyokong penubuhan Malaysia.

· Pemimpin-pemimpin Sabah dan Sarawak menentang Gagasan Malaysia.

· Persidangan Persatuan Parlimen Komanwel telah diadakan untuk memberi peluang kepada wakil-wakil Sabah dan Sarawak berbincang tentang Gagasan Malaysia dengan wakil Tanah Melayu dan Singapura.

· Persidangan ini telah melahirkan Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia untuk memberi penerangan dan mengumpul maklumat mengenai penubuhan Malaysia.


Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia (JPPM)

· Ditubuhkan pada 23 Julai 1961.

· Tujuan JPPM ialah

a. Memberitahu orang ramai tentang penubuhan Malaysia.

b. Mengumpul maklumat mengenai sambutan orang ramai terhadap penubuhan Malaysia.

c. Menyediakan dan mengemukakan satu memorandum mengenai pembentukan Malaysia.

d. JPPM meyakinkan pemimpin-pemimpin Sabah dan Sarawak tentang kebaikan Malaysia.

e. Memorandum JPPM mendapat sokongan padu daripada penduduk Sabah, Sarawak, Singapura dan Tanah Melayu.


Suruhanjaya Cobbold

· Tunku Abdul Rahman telah berangkat ke London pada bulan Oktober 1961 untuk mendapatkan sokongan Kerajaan British.

· British bersetuju dengan penubuha Malaysia tetapi hendak mengumpulkan pendapat dan sambutan penduduk Sabah dan Sarawak terhadap Malaysia.

· Suruhanjaya Cobbold ditubuhkan oleh British untuk meninjau pendapat rakyat Sabah dan Sarawak dan membuat syor-syor perlembagaan setelah mendapat pandangan rakyat.

· Laporan Suruhanjaya Cobbold telah disiapkan dan mengesahkan bahawa 80% daripada rakyat Sabah dan Sarawak menyokong Malaysia.

· Jawatankuasa Cobbold telah mengesyorkan penubuhan Jawatankuasa Antara Kerajaan untuk merangka Perlembagaan Malaysia.


Jawatankuasa Antara Kerajaan (JAK)

· JAK mengeluarkan laporan pada 27 Februari 1963 dan dibentangkan di Majlis Sarawak dan Sabah.

· Kedua-dua Majlis menerima dan meluluskan laporan JAK dan seterusnya diluluskan oleh Parlimen Tanah Melayu dan menjadi Akta Malaysia 1963.

· Mengikut laporan PBB, lebih 70% daripada rakyat Sabah dan Sarawak menyokong penubuhan Malaysia.


Penutup

· Pengisytiharaan Malaysia dibuat secara rasminya pada 16 September 1963.

· Hasil gabungan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura.

· Walau bagaimanapun, pada 9 Ogos 1965, Tunku Abdul Rahman telah mengumumkan penarikan Singapura dari Malaysia.

· Akhirnya Malaysia hanya terdiri daripada Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.



Sumber:

http://www.geocities.com/cominglucky/s6tema3.htm

Monday, September 14, 2009

PROGRAM JEJAK PEJUANG KE GALERI TUN MUSTAPHA














14 September 2009: Program Jejak Pejuang di Galeri Tun Mustapha yang terletak di Bangunan Tun Mustapha Teluk Likas dianjurkan oleh Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sepanggar dengan kerjasama Galeri Tun Mustapha. Seramai 100 orang eserta lawatan terdiri daripada pelajar tahun 6 SK Pg Siti Hafsah Karambunai dan SK Darau Menggatal.

Lawatan ini diadakan sempena sambutan Bulan Kemerdekaan yang ke 52 dan sambutan Hari Penubuhan Malaysia ke 46 pada 16 September 2009. Jejak pejuang kali ini membawa pelajar mengenali lebih dekat seorang tokoh pemimpin besar Negeri Sabah yang digelar 'Bapa Kemerdekaan'.

Saya berharap lawatan ini akan memudahkan pelajar memahami perjuangan yang telah dilalui oleh Allahyarham Tun Mustapha dan rakan-rakan pemimpin lain sehingga berjaya memerdekakan Negeri Sabah.

Program ini terbahagi kepada dua segmen iaitu lawatan bahan pameran di galeri dan tayangan video korporat Yayasan Sabah dan video Galeri Tun Mustapha.

Selain pelajar beberapa orang guru pengiring dari kedua buah sekolah juga turut serta. Saya merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak SK Pg Siti Hafsah Karambunai dan SK Darau Menggatal kerana sudi menyertai lawatan tersebut.

Semoga lawatan ini akan meningkatkan semangat patriotisma di kalangan pelajar dan memahami erti perjuangan seorang negarawan dengan harapan mereka akan menjadi pemimpin yang memahami aspirasi rakyat disuatu hari kelak.

Marilah kita sedekahkan Surah Ummul Kitab AL-FATIHAH kepada Allahyarham Tun Datu Hj Mustapha Datu Harun semoga rohnya dicucuri Rahmat. Amin.

Salam perjuangan, selamat Hari Kebangsaan dan menyambut Hari Malaysia.

Saturday, September 12, 2009

KD Tun Abdul Rahman Akan Tiba di Sepanggar






Pada 17 September 2009 ini satu lagi sejarah tercatat apabila kapal selam pertama negara yang dinamakan KD Tunku Abdul Rahman (KDTAR) akan tiba di Pengkalan Tentera Laut Sepanggar. 

KDTAR yang tiba ke Malaysia pada 3 September lepas di Pulau Indah, Pelabuhan Klang disambut oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin yang disertai Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Kapten Yang Dipertua TLDM, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Turut hadir ialah Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Azizan Ariffin, Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan juga anggota keluarga anak kapal KD TAR.

KD TAR adalah antara dua kapal selam baru jenis Scorpene yang ditempah oleh kerajaan pada 2002 dengan kos pembelian berjumlah RM3.4 bilion. Ia dibina secara bersama oleh DCNS dari Perancis dan Navantia, syarikat pembuat kapal selam dari Sepanyol.

Sebuah lagi, yang dinamakan KD Tun Razak, akan ditauliahkan pada Oktober ini dan dijangka tiba di Malaysia pada Mac tahun depan.

Pembelian ini adalah sebahagian usaha negara memastikan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara dari sebarang ancaman.

Ini merupakan hadiah kepada rakyat Malaysia sempena sambutan penubuhan Malaysia yang ke 46 tahun.

KDTAR mempunyai kemampuan peperangan 3 dimensi iaitu; bawah permukaan, aras permukaan dan anti udara. Kemampuan ini bakal mempertingkatkan kemampuan pertahanan negara. Sebagai sebuah negara maritim, 80% ekonomi Malaysia bergantung kepada perdagangan laut. Peningkatan kemampuan pertahanan ini akan dapat meningkatkan kepercayaan dan keyakinanpelabur asing untuk berdagang dengan Malaysia. Tambahan pula Malaysia telah mencapai status 'Blue Water Navy' kerana keadaan  perairannya yang terkawal.

Sebagai rakyat Malaysia, tambahan lagi ia bakal ditempatkan di Sepanggar, saya turut merasa bangga. Harapan saya agar kehadiran KDTAR akan membawa impak positif terhadap perkembangan ekonomi dan pembangunan negara seterus melimpahkan kemakmuran di Bahagian sepanggar.