Saturday, September 12, 2009

KD Tun Abdul Rahman Akan Tiba di Sepanggar






Pada 17 September 2009 ini satu lagi sejarah tercatat apabila kapal selam pertama negara yang dinamakan KD Tunku Abdul Rahman (KDTAR) akan tiba di Pengkalan Tentera Laut Sepanggar. 

KDTAR yang tiba ke Malaysia pada 3 September lepas di Pulau Indah, Pelabuhan Klang disambut oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin yang disertai Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Kapten Yang Dipertua TLDM, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Turut hadir ialah Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Azizan Ariffin, Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan juga anggota keluarga anak kapal KD TAR.

KD TAR adalah antara dua kapal selam baru jenis Scorpene yang ditempah oleh kerajaan pada 2002 dengan kos pembelian berjumlah RM3.4 bilion. Ia dibina secara bersama oleh DCNS dari Perancis dan Navantia, syarikat pembuat kapal selam dari Sepanyol.

Sebuah lagi, yang dinamakan KD Tun Razak, akan ditauliahkan pada Oktober ini dan dijangka tiba di Malaysia pada Mac tahun depan.

Pembelian ini adalah sebahagian usaha negara memastikan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara dari sebarang ancaman.

Ini merupakan hadiah kepada rakyat Malaysia sempena sambutan penubuhan Malaysia yang ke 46 tahun.

KDTAR mempunyai kemampuan peperangan 3 dimensi iaitu; bawah permukaan, aras permukaan dan anti udara. Kemampuan ini bakal mempertingkatkan kemampuan pertahanan negara. Sebagai sebuah negara maritim, 80% ekonomi Malaysia bergantung kepada perdagangan laut. Peningkatan kemampuan pertahanan ini akan dapat meningkatkan kepercayaan dan keyakinanpelabur asing untuk berdagang dengan Malaysia. Tambahan pula Malaysia telah mencapai status 'Blue Water Navy' kerana keadaan  perairannya yang terkawal.

Sebagai rakyat Malaysia, tambahan lagi ia bakal ditempatkan di Sepanggar, saya turut merasa bangga. Harapan saya agar kehadiran KDTAR akan membawa impak positif terhadap perkembangan ekonomi dan pembangunan negara seterus melimpahkan kemakmuran di Bahagian sepanggar.



No comments:

Post a Comment