Wednesday, October 14, 2009

TEKS UCAPAN SAYA SEMASA MEMBAHAS USUL TERIMA KASIH DI ATAS UCAPAN DASAR KETUA PEMUDA UMNO


TEKS UCAPAN PERBAHASAN
WAKIL PERGERAKAN PEMUDA UMNO NEGERI SABAH
MEMBAHAS USUL TERIMA KASIH DI ATAS UCAPAN DASAR KETUA PEMUDA UMNO MALAYSIA DI DALAM PERHIMPUNAN AGUNG PEMUDA 2009

BISSMILLAH HIRRAHMAN NIRRAHIM
Tuan Pengerusi Tetap Persidangan,
YB Ketua Pemuda, YB Dato’ Naib Ketua Pemuda, Barisan Exco, Wakil Ahli Majlis Tertinggi, Ketua Pemuda UMNO Negeri Sabah, Ketua-ketua Pemuda UMNO Negeri, serta Sidang Perwakilan sekalian.

ASSALAMUALAIKUM WBT

1. Saya MOHD JOH HAJI WID perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sepanggar, mewakili Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sabah memohon izin untuk mengambil bahagian dalam sesi perbahasan membahas Usul Terima Kasih di atas Ucapan Dasar Yang Berhormat Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di dalam Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO Tahun ini.

Pantun dibaca pembuka kata
adat Melayu bahasanya indah
Izinkan saya membuka bicara
membawa suara rakyat Sabah

2. Kehadiran rombongan perwakilan UMNO Negeri Sabah ke Perhimpunan Agung tahun ini mempunyai makna yang amat besar bagi kami. Bersama kami dalam rombongan ini menyeberangi Lautan China Selatan ialah seorang Naib Presiden UMNO, 3 orang Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Ketua Puteri UMNO Malaysia, dua orang Exco Pergerakan Wanita, dua orang Exco Pergerakan Pemuda dan 2 orang Exco Pergerakan Puteri yang telah dinobatkan ke jawatan tersebut oleh sebahagian besar ahli perwakilan dari negeri-negeri lain di Tanah Semenanjung.

3. Ini merupakan pengiktirafan yang sangat besar kepada UMNO Negeri Sabah. Ia mengingatkan saya kepada kenyataan YB Dato’ Sri Hishammudin Tun Hussein, mantan jeneral kita, bahawa “Sudah sampai masanya ahli-ahli politik dari Sabah diposisikan dalam arus perdana politik nasional”. Ternyata kenyataan ini bukan hanya kata-kata retorik untuk menyedapkan hati perwakilan UMNO Sabah bagi mendapatkan undi, tetapi satu kenyataan yang penuh tekad dan bermakna. Rombongan besar kami ini adalah bukti bahawa rakan-rakan di Tanah Semenanjung dengan ikhlas mengiktiraf Sabah untuk memikul peranan yang lebih besar. Kami bukan sahaja diiktiraf mengurus UMNO di negeri sendiri, tetapi diiktiraf mengurus UMNO secara keseluruhan di peringkat pusat.

4. Usaha memposisikan Sabah dalam arus perdana politik nasional tidak cukup sekadar di situ. Malah dalam kabinet Persekutuan juga, Sabah telah diberikan peranan yang penting dengan 4 jawatan Menteri dan 5 jawatan Timbalan Menteri.

5. Saya mengambil kesempatan merakamkan jutaan terima kasih di atas pengiktirafan dan kepercayaan terhadap kepimpinan rakyat Sabah di Dalam UMNO dan kerajaan yang telah diberikan oleh YAB Perdana Menteri dan rakan-rakan lain di sini.

6. Senario politik di negeri Sabah ketika ini agak tenang tetapi rancak. Apa tidaknya, dengan pengiktirafan dan tanggungjawab yang kami sedang pikul ini, kami perlu melipat kali gandakan usaha untuk mengekalkan kepercayaan yang telah kami terima. Tambahan pula, jolokan ”Simpanan Tetap” Barisan Nasional yang telah diberikan oleh YAB Perdana Menteri terhadap Sabah membuatkan kami begitu teruja untuk membuktikan kemampuan memberikan yang terbaik kepada rakyat.

7. Sebab itu, YAB Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Hj Aman meletakkan kedudukan jentera parti UMNO dan Barisan Nasional pada keadaan seoalah-olah kami sedang berada dalam zon Pilihan Raya. Setiap usaha dan gerak, setiap langkah dan gempur ketika ini telah menjurus kepada kepentingan dan keutamaan rakyat. Usaha kami menghadapi Pilihan Raya tidak dimulakan pada hari esok, atau minggu depan atau bulan depan, apatah lagi tahun depan. Tetapi kami telah mulakan sejak hari, minggu dan bulan-bulan yang lalu. Sebagai strategi menjayakan operasi tersebut, Pergerakan Pemuda UMNO Sabah telah melancarkan slogan ”Rakan Pembela Rakyat”.

8. Begitulah kesungguhan kami menghadapi cabaran politik semasa, seperti yang dikatakan oleh YAB Timbalan Presiden semalam iaitu proses transformasi dan bentuk politik baru khususnya bagi menjuarai segmen pengundi muda. Sesungguhnya mengurus kejayaan lalu merupakan cabaran yang sangat hebat.

9. Ini kerana, masih banyak lagi agenda yang perlu diperjuangkan untuk rakyat di negeri Bawah Bayu. Dengan keluasan sebagai negeri yang ke-2 terbesar dan bilangan penduduk yang ke-3 ramai di Malaysia, kami masih memerlukan pembelaan dan usaha yang lebih gigih untuk menaik taraf :
· Pendidikan Luar Bandar
· Kemudahan Asas dan Infrastruktur
· Bekalan Elektrik dan Air Bersih
· Sitem Perhubungan dan Pengangkutan yang Baik, serta
· Kemudahan Kesihatan

10. Sementara itu dari sudut Pendapatan Perkapita [Setahun], negeri Sabah, secara puratanya adalah RM11,323 [2008]. Berbanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia, Sabah adalah ke-2 terendah selepas Kelantan. Namun jika dikurang sebanyak 30% daripada jumlah pendapatan tersebut [berasaskan kepada kos perbelanjaan terhadap barangan keperluan asas yang begitu tinggi di Sabah, berbanding dengan negeri-negeri lain, jumlah sebenarnya pendapatan perkapita negeri Sabah ialah RM7, 926. Ini bermakna, pendapatan perkapita sebenar negeri Sabah adalah lebih rendah berbanding dengan pendapatan perkapita negeri Kelantan sebanyak RM8, 638.

11. Fakta ini menunjukkan indikasi yang jelas betapa jurang pendapatan negeri Sabah berbanding negeri lain yang berpendapatan perkapita yang tinggi RM39, 283 di Malaysia begitu melebar sekali iaitu dengan perbezaan RM31, 357.

Untuk itu, saya berharap dalam bajet 2010 yang aan dibentangkan pada minggu hadapan akan memberi perhatian terhadap usaha menyamakan harga barangan antara di sabah dan Sarawak dan negeri-negeri di Semenanjung.

12. Tuan Pengerusi Tetap Persidangan serta Para Perwakilan yang saya hormati sekalian,

13. Sekalipun cabaran tersebut sentiasa membayangi kami, namun kami berkeyakinan tinggi dapat menghadapinya dan seterusnya mengekalkan kecemerlangan kami.

14. Gagasan 1Malaysia ”Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” bakal menjadi senjata ampuh untuk meletakkan semula keyakinan rakyat kepada UMNO yang menunjangi kerajaan Barisan Nasional.

15. Lebih-lebih lagi konsep dan falsafah gagasan ini telah lama menjadi sebahagian dari budaya hidup kami. Pernyataan ”Kesatuan Dalam Kepelbagaian” atau ”Unity in Diversity” [Dengan izin], dalam Halatuju Pembangunan Negeri Sabah membawa semangat dan pengertian yang sama.

16. Di Sabah, kami tidak perlu meletakkan diri kami ke dalam diri orang lain untuk kami memahami kehendak dan sensitiviti mereka. Sebaliknya begitu juga diri orang lain tidak perlu cuba memahami diri kami. Ini kerana kami telah saling memahami dan menghormati titik-titik perbezaan dan menerima titik persamaan sebagai pengikat. Malah, tidak kira ia satu perbezaan atau persamaan identiti etnik, ia tetap dipelihara sebagai satu aset atau kelebihan yang kami banggakan. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa ’SABAH adalah Wajah Sebenar 1Malaysia’.

17. Tuan Pengerusi Tetap Persidangan dan Saudara Perwakilan Sekalian,

18. Dalam mengharungi cabaran menjaga Simpanan Tetap BN di Sabah, kami turut terkesan dan terpanggil untuk bersama meletakkan BN di landasan asal. Sejarah dan pengalaman politik kami di Sabah membuatkan kami sedar dan bermuhasabah diri betapa kami masih memerlukan ’Gerakan Bersatu’ bersama rakan-rakan lain di Tanah Semenanjung. Bersesuaian dengan Pindaan Perlembagaan yang bakal memperlihatkan pelebaran kuasa kepada lebih ramai ahli dan slogan Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan... saya mohon mencadangkan agar kita bawa Perhimpunan Agung UMNO ini ke setiap ibu negeri di seluruh Malaysia secara bergilir-gilir. Kita bawa aura dan gema kebangkitan kita setelah membuktikan kejayaan di Bagan Pinang ke seluruh negeri. Biar rakyat terasa akan kebersamaan ini agar perjuangan UMNO meresap ke setiap sanubari mereka.

19. Jika cadangan ini dapat diterima, maka saya cadangkan agar Negeri Sabah menjadi destinasi pertama Perhimpunan Agung UMNO di Luar Kuala Lumpur.

20. Menyentuh soal 5 Rukun Pemuda iaitu: Pemuda Bersatu, Pemuda Berprinsip, Pemuda Inklusif, Pemuda Relevan dan Pemuda Proaktif, saya tertarik untuk menyentuh salah satu daripada rukun tersebut iaitu BERSATU. Kita seolah-olah bermasalah dengan perkataan ini. Kita melaungkan perkataan yang sama, tetapi kita mempunyai tafsiran yang berbeza terhadap makna perkataan tersebut. Kita hanya akan mengakui makna perkataan BERSATU apabila maknanya berpihak kepada kita. Sebaliknya, kita menolak maknanya jika BERSATU itu berpihak kepada orang lain.

21. Bagaimana kita menjayakan Rukun lain jika kita masih bercanggah penghayatan terhadap makna BERSATU? Malah kita akan mengelirukan pengikut kita, apatah lagi anak-anak muda yang baru kita dekati. Apa maknanya Pindaan Perlembagaan yang bakal memberi ruang yang luas kepada orang muda secara keseluruhan jika kita dilihat ’retak menanti belah’.

22. Untuk itu, kita perlu kembali kepada institusi kita iaitu institusi PEMUDA. Institusi ini punya semangat dan rohnya yang tersendiri. Selagi kita berpegang kuat kepada prinsip institusi, selagi itu kita relevan dalam perjuangan ini. 1 institusi 1 Ketua.

23. Akhir sekali, ajari kami erti perjuangan sebenar dalam UMNO.


Wallahu alam.
Sekian terima kasih.
Sabah mohon menyokong.

Sunday, October 11, 2009

WAKIL JURUCAKAP PEMUDA UMNO SABAH


Salam kepada pembaca budiman.

Saya akan mewakili Pemuda UMNO Negeri Sabah membahas ucapan dasar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di dalam Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang akan berlangsung di Putra Worl Trade Centre(PWTC) pada 14 Disember 2009 ini.

Di antara perkara yang saya akan bangkitkan dalam ucapan saya ialah:

  • Sabah dalam arus perdana politik nasional
  • Sabah sebagai 'Simpanan Tetap BN'
  • Sabah adalah 'Wajah Sebenar 1Malaysia'
  • Pindaan Perlembagaan dan politik pemuda
  • Pentingnya penghayatan terhadap Rukun Pemuda ke-5 iaitu 'BERSATU'
Semoga suara Pemuda UMNO Sabah dalam perbahasan tahun ini akan mendapat perhatian dalam memastikan pembelaan terhadap rakyat Sabah terus menjadi agenda terpenting kerajaan.

Mohon restu daripada pembaca sekalian agar saya diberikan keyakinan dan kekuatan menyampaikan ucapan dalam perbahasan tersebut.

Terima kasih.