Thursday, December 29, 2011

2011, Sekali Lagi Berucap Mewakili Pemuda UMNO Negeri Sabah

Apa khabar semua?

Saya harap pembaca yang melawat blog ini sihat dan gembira dengan apa yang sedang dilakukan ketika ini.

Terlebih dahulu saya mohon maaf kepada pembaca yang sering melawat blog ini untuk mengetahui perkara baru berkenaan saya atau aktiviti terkini saya. Lama saya tidak update blog ini. Post terakhir saya ialah pada tahun 2009 yang lalu. Biarpun banyak perkara yang telah berlaku dalam tempoh tersebut, namun saya tidak sempat menulis untuk kongsi bersama pembaca sekalian.

Saya akan cuba imbas kembali pengalaman-pengalaman penting yang saya rasa perlu dikongsi bersama pembaca sekalian dalam artikel-artikel selepas ini. Mungkin moral dari pengalaman tersebut akan memberi pengalaman baru kepada anda sekalian.

Sebelum itu, di sini saya kongsikan ucapan saya ketika membahas Ucapan Dasar YB Khairy Jamaluddin semasa Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia 2011 pada 30 November lalu mewakili Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sabah.

Terima kasih kepada Tuan Haji Awang Kadin Tang, Ketua Pemuda UMNO Negeri Sabah kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk membahas buat kali kedua(sebelum ini saya berpeluang buat kali pertama pada thaun 2009).

Terima kasih juga kepada Saudara Kassim Hj Jali, Ketua Pemuda UMNO Tuaran yang sepatutnya mewakili Pemuda UMNO Negeri Sabah pada tahun ini. Namun oleh kerana faktor tertentu saya mengambil tanggungjawab tersebut. Biarpun pada saat-saat akhir saya harap ucapan ini dapat membawa isi hati seluruh rakyat Sabah.

PETIKAN VIDEO
BERKENAAN ISU "CALON MUDA"




Bissmillahirrahmanirrahim,

Terima kasih Tuan Pengerusi Tetap Persidangan

Yang Berhormat
Saudara Khairy Jamaluddin
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

YB Dato' Razali Hj Ibrahim,
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia,

Wakil-wakil Ahli Majlis Tertinggi UMNO

Barisan Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

Tuan Hj Kadin Tang, Ketua Pemuda UMNO Negeri Sabah,

Ketua-Ketua dan Naib-Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian

Perwakilan-Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sabah

Para perwakilan

Seterusnya para pemerhati yang dihormati sekalian.

ASSALAMUALAIKUM WBT

1. Terlebih dahulu marilah kita sama-sama memanjatkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana limpah kurniaNya kita dapat meneruskan perjuangan sayap parti keramat UMNO ini.

2. Saya MOHD JOH HAJI WID, Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sabah, juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sepanggar mewakili Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sabah memohon izin mengambil bahagian dalam sesi perbahasan usul ucapan terima kasih di atas ucapan YB Ketua Pergerakan Pemuda sebentar tadi.

3. Pertama sekali saya bagi pihak Pergerakan Pemuda UMNO negeri Sabah ingin merakamkan jutaan terima kasih dan tahniah kepada YAB Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan di atas pembentangan Bajet Negara 2012 yang kami sifatkan sebagai satu bajet yang menyelami naluri dan kehendak rakyat. Bajet tersebut tentunya akan merancakkan perkembangan ekonomi negara bersesuaian dengan hasrat kerajaan merealisasikan Wawasan 2020 menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi. Bagi kami di negeri Sabah, tidak kira di bandar atau desa, petani dan nelayan, kakitangan awam atau buruh kasar, kami juga menerima kesan terus yang positif dari bajet tersebut.

4. Seiringan dengan itu, Kerajaan Negeri Sabah juga telah meluluskan Bajet Negeri Sabah 2012 yang dibentangkan oleh YAB Datuk Seri Pangalima Musa Haji Aman, Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Kewangan bertema: "MELONJAKKAN KESEJAHTERAAN DAN KEMAKMURAN NEGERI". Bajet yang bernilai RM4.04 bilion tersebut merupakan bajet yang terbesar dalam sejarah negeri Sabah.

5. Kedua-dua bajet tersebut merupakan bajet yang membuktikan kerajaan yang mentadbir negara Malaysia dan Negeri Sabah merupakan kerajaan yang boleh dipercayai dan diyakini rakyat. Bajet sedemikian tidak akan terhasil tanpa kesepekatan dan semangat saling melengkapi antara satu sama lain di antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri. Bagi rakyat negeri di Bawah Bayu, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sabah sekali lagi merakamkan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri di atas keyakinan dan kepercayaan yang diberikan kepada kerajaan dan kepimpinan negeri Sabah.

Pengerusi Tetap Persidangan dan rakan-rakan seperjuangan sekalian.

6. Negeri Sabah kini berada dalam keadaan yang baik di bawah kerajaan Barisan Nasional yang dinakhodai oleh parti UMNO. Sasaran menjadikan negeri Sabah menjadi negeri yang Maju dan Makmur boleh dicapai kerana asas ekonomi negeri yang kukuh ditambah dengan kekayaan hasil bumi yang bernilai tinggi. Selain itu Disiplin Kewangan dan Perbelanjaan yang teratur juga merupakan faktor pencapaian ekonomi negeri berada dalam tahap yang membanggakan. Kejayaan ini terbukti berdasarkan pencapaian-pencapaian berikut:

Merupakan negeri yang terbaik dalam pengurusan kewangan dengan mempertahankan SIJIL BERSIH yang dianugerahkan oleh Ketua Audit Negara selama 11 Tahun berturut-turut

Mencapai penarafan tertinggi "AAA" oleh RAM Rating Services Berhad selama 3 Tahun berturut-turut kerana kedudukan fiskal negeri yang mantap dengan lebihan yang berterusan dan mengumpulkan RIZAB yang kukuh di samping hubungan yang baik dan sokongan dari Kerajaan Pusat.

Mendapat pensijilan ISO oleh MOODY International untuk pengurusan bajet negeri yang efisien dan teratur bagi tempoh 3 Tahun berturut-turut

Sidang Perwakilan yang saya hormati sekalian,

Pohon senduduk di tepi padi
Biar merunduk tapi menjadi

Indragiri pohon seroja
Merendah diri buat kerja

7. Kerajaan Barisan Nasional telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik. Manakala parti pula telah berjuang sepenuh hati. Pelbagai perubahan atau transformasi dilaksanakan; Transformasi Kerajaan, Transformasi Ekonomi, Transformasi Politik dan sebagainya. Sebilangan ramai rakyat telah menerima manfaat dan kemajuan dari dasar-dasar yang telah membawa kemakmuran di negara kita ini. Kita yang menjadi nadi gerakan membela rakyat pula tidak leka dan lalai kerana pencapaian demi pencapaian yang diraih oleh negara. Kita tidak lalai kerana, masih terdapat lagi sebilangan rakyat, khususnya di negeri Sabah yang masih menagih perhatian dan meraih simpati dari hasil kemakmuran tersebut.

8. Justeru itu, berdasarkan semangat Gagasan 1Malaysia, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sabah mengemukakan beberapa perkara berikut yang perlu diberi perhatian:

a) 1MALAYSIA 1HARGA

Pertama sekali saya merakamkan terima kasih atas usaha kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan kerana usaha yang telah dilakukan untuk mengatasi beberapa permasalahan berkenaan HARGA BARANG melalui program;

-Komuniti Drumming: Agar harga bekalan bahan api di kawasan luar bandar dapat dinikmati dengan harga yang sama di kawasan bandar.

-Kedai 1Malaysia: Menjual barangan keperluan harian dengan harga murah di setiap daerah.

Walaupun demikian, usaha-usaha tersebut hanya melibatkan beberapa barangan tertentu sahaja. Persoalan yang saya bangkitkan ialah kenapa perlu ada DUA harga dalam SATU negara? Kami faham dengan langkah kerajaan menstruktur semula dasar subsidi negara agar subsidi diterima oleh rakyat yang memerlukan sahaja. Saya tidak berniat membebankan kerajaan untuk mensubsidikan penyamaan harga ini hingga membebankan. Mungkin perkara ini perlu dilihat dari sudut polisi kerajaan agar persoalan perbezaan harga barangan di antara Semenanjung Malaysia dan Sabah dan Sarawak dapat diatasi.

b) PETRONAS

Rakyat Sabah merasa syukur dan sangat bertuah kerana dianugerahi hasil bumi yang sangat bernilai iaitu MINYAK. Kami juga gembira kerana komitmen tinggi Petronas membangunkan industri Minyak dan Gas di negeri Sabah kerana sektor ini akan memberi peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat di negeri ini. Industri ini akan akan menjadi sumber pertumbuhan baru ekonomi bagi negeri Sabah dan bakal mengubah senario pembangunan ekonomi khususnya di negara ini.

Pelaburan Petronas melalui beberapa projek mega di peringkat huluan(upstream) dan hiliran(downstream) bernilai RM45bilion. Pihak Petronas telah memberikan komitmen bahawa segala kerja atau skop kerja yang tidak melibatkan kerja-kerja proses akan diberikan kepada syarikat-syarikat anak-anak muda tempatan di negeri Sabah yang berkelayakan dan berkemampuan.

Perkara yang saya cuba bangkitkan di sini ialah, agar Program Pembangunan Vendor(VDP) bagi syarikat-syarikat tempatan dapat disegerakan supaya mereka dapat turut serta dalam persaingan merebut peluang-peluang tersebut.

Dalam hal ini, saya merayu agar PEMANDU memberikan perhatian terhadap usahawan-usahawan bumiputera Sabah yang memerlukan bantuan.

Kami juga risau, ada syarikat luar yang bertopeng anak tempatan tapi sebenarnya dimiliki orang asing.
c) PERUNTUKAN KERAJAAN PUSAT

Saya mengalu-alukan kesudian Kementerian Pelajaran Malaysia di bawah pimpinan YAB Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin Bin Hj Mohd Yassin, menurunkan sedikit kuasa Kementerian kepada Jabatan Pelajaran Negeri Sabah membuat keputusan terhadap bebrapa program pembangunan yang dilaksanakan di negeri Sabah.

Begitu juga dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang menurunkan semua peruntukan Program Satu Azam bagi negeri Sabah terus kepada Kementerian-kementerian negeri yang berkaitan.

Kepercayaan yang diberikan oleh kementerian-kementerian tersebut kepada agensi atau kementerian kerajaan negeri akan mempercepatkan program pembanguan kerajaan dilaksanakan dengan segera dan terus sampai kepada golongan sasar yang memerlukan.

Saya berharap akan lebih banyak kementerian akan berbuat demikian.

d) TIKET PENERBANGAN

Pertukaran Saham di antara AirAsia dan MAS telah memberi kesan terhadap sistem perhubungan di antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak. Pertukaran ini mengakibatkan penerbangan FireFly tidak lagi beroperasi di sektor penerbangan di antara Kota Kinabalu-Kuala Lumpur. Pengguna tidak ada pilihan untuk memilih tiket penerbangan mana yang lebih murah. Dulu yang murah ialah tiket AirAsia kerana ia adalah syarikat penerbangan tambang murah. Nak naik MAS kira ada kelaslah. Tapi kini berlaku sebaliknya.

Saya bukan mau bangkitkan persoalan TuneAir lebih untung dalam pertukaran ini manakala Khazanah yang mewakili rakyat Malaysia yang rugi, tetapi saya cuba bangkitkan bahawa rakyat negeri Sabah terbeban dengan harga tiket penerbangan.

Selain menjejaskan sektor pelancongan negara, pengguna domestik yang melakukan penerbangan kerap terutamanya bagi sektor Kota Kinabalu-Kuala Lumpur seperti pelajar, peniaga dan kakitangan awam dan swasta merada seolah-olah jarak di antara dua wilayah dalam Malaysia ini semakin jauh.

e) BOLASEPAK

Setiap kali skuad Harimau negara beraksi, suasana di Sabah juga tidak kurang hebat. Riuh sokongan di setiap rumah malah di kedai-kedai kopi sorakan dan sokongan untuk pasukan negara tidak kurang hebatnya. Ada di kalangan penyokong dari Sabah yang sanggup terbang ke Stadium Nasional Bukit Jalil. Tidak kisahlah tentang nama sepsis 'Harimau Malaya' atau 'Harimau Muda', yang pasti semangat Malaysia tersemat di dalam dada.

Seperti zaman-zaman lampau, kami juga mahu melihat kelibat warisan King James dan si Lipas Kudung Hassan dan kelincahan Matlan. Untuk itu saya mencadangkan agar ditubuhkan Akademi Bolasepak Malaysia di Negeri Sabah

Pengerusi Tetap Persidangan serta para perwakilan yang saya hormati sekalian,

9. Menghampiri Pilihan Raya Umum ke 13 nanti, kami memberi jaminan bahawa Sabah masih kukuh sebagai Simpanan Tetap BN.

Kesatuan komponen BN Sabah begitu erat. Bila dikatakan bahawa terdapat masalah dengan salah satu parti komponen, isu tersebut ternyata tidak benar dengan kenyataan Presiden LDP bahawa kepimpinan YAB Datuk Seri Musa Hj Aman telah berjaya memakmur dan memajukan negeri Sabah dari segi politik dan ekonomi.

Tapi masih ada individu yang menangguk di air keruh. Kerana dengki dan iri hati, ibarat api dalam sekam, gunting dalam lipatan, mereka sanggup diperkudakan menghancurkan keharmonian tersebut.

Kalau mau cerita tentang Pakatan Rakyat di Sabah, mereka seolah hidup segan mati tak mau. Jangankan khidmat pada rakyat, organisasi parti pun berterabur hancur berkecai. Kepimpinan yang mereka telah jatuhkan diambil semula menjadi ketua. Mengambil sampah dari tong buangan, ibarat menjilat ludah sendiri.

10. Calon Muda

Ampu-ampu beliung
Labu ta torong jungkir
Calon muda kita surung
Khidmat rakyat jangan mungkir

Negeri Sabah juga mempunyai barisan pemimpin muda yang boleh dikategorikan 'winnable candidate'. Kami mempunyai pemimpin yang telah teruji dan berprestasi. Bukan sekadar 'winnable candidate' tetapi juga 'LOYAL CANDIDATE'.

Kami harap dalam penilaian winable dan loyal candidate ini, UMNO Bahagian dan Perhubungan negeri diberi mandat sepenuhnya kerana mereka tahu markah penilaian pencapaian calon tersebut.

Anak lebah anak seluang
Pemuda Sabah terus berjuang!

11. Sebelum berundur, saya ingin menyatakan pada YB KJ dan rakan-rakan sekalian bahawa, biar apapun yang berlaku kita akan pertahankan parti keramat UMNO.

"Mungkin kita tidak selalu bijak membuat keputusan. Dan mungkin juga bukan kita yang terkuat untuk menang. Cuma kita selalu BERJAYA dan MENANG kerana kita IKHLAS dalam perjuangan"

"BN, Pilihan Orang Muda!"

Negeri Sabah mohon MENYOKONG!

1 comment: