Sunday, November 8, 2015

Sepanggar- Potensi Hub Industri Kreatif Sabah

Ketika mengambilalih kepimpinan negeri sedekad yang lalu, Sabah sedang berada pada fasa asas pembangunannya. Kini, rakyat negeri Sabah wajar berasa bangga kerana di bawah kepimpinan YAB Datuk Seri Musa Hj Aman, Sabah bakal menjadi penyumbang utama kepada impian menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020 akan menjadi kenyataan. Hubungan baik dengan kerajaan persekutuan yang dipimpin oleh YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, dan keyakinan beliau terhadap kepimpinan YAB Ketua Menteri Sabah ini bukan hanya mencetuskan lambakan idea berimpak tinggi, malah telah berjaya menzahirkan pelbagai pembangunan fizikal sepertimana yang dapat dilihat dewasa ini.  
Umum menyedari bahawa kekayaan negeri tidak lagi boleh dikaitkan dengan industri berteraskan kayu balak. Malah halatuju pembangunan negeri kini tertumpu kepada sektor yang diberi nafas baharu; yakni, industri pembuatan, pertanian dan pelancongan. Sektor pembuatan akan terus menjadi penyumbang utama dengan menjangka sumbangan sebanyak 8.9 peratus kepada GDP. Sektor pertanian pula akan diperkayakan hasil pengeluarannya menerusi pelbagai program dan insentif. Manakala, sektor pelancongan bakal melalui fasa pemulihan yang drastik sejak dinodai oleh krisis penculikan. Di samping itu, negeri juga bergantung kepada suntikan ekonomi dari pendapatan industri minyak dan gas. Koridor pembangunan negeri Sabah (SDC) yang dimulakan pada tahun 2008 ini bakal mempastikan segala pelaburan berjalan lancar dan membawa pulangan keuntungan jangka panjang.
Tidak ada magis yang dilakukan, sebaliknya kerja keras, semangat dan sokongan rakyat, serta komitment kakitangan awam, pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan, telah membolehkan YAB Datuk Seri Musa melipatgandakan pembangunan bandar dan luar bandar. Jolokan Sabah sebagai simpanan tetap kerajaan persekutuan bukan suatu jenaka dan bukan juga suatu konotasi atau andaian kosong semata. Sebaliknya, itu merupakan pembakar semangat kepada YAB Ketua Menteri untuk memastikan bahawa kerajaan sedia ada adalah yang terbaik untuk kebaikan rakyat negeri Sabah khasnya. 
Berbekalkan kepada pegangan ini, pembangunan negeri Sabah terus berjalan rancak dengan sokongan prasarana yang sangat kondusif. Tanpa menidakkan keutamaan kawasan luar bandar sebagai pelengkap kepada pembangunan negeri, usaha mempertingkatkan kawasan bandar, khususnya Bandaraya Kota Kinabalu wajar dilipatgandakan. Ini adalah bersesuaian dengan kedudukan Bandaraya Kota Kinabalu sebagai pusat pentadbiran dan pusat utama komersial negeri. Potensi pembangunan Bandaraya ini wajar dipertingkatkan. Sehubungan itu, artikel ini menggagaskan suatu idea pembangunan yang mampu mencetus era baru pembangunan negeri yang berimpak tinggi dan memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat negeri ini, khususnya dalam kawasan Sepanggar.
Lebih dikenali sebagai sebuah kawasan perkampungan komuniti nelayan suatu ketika dahulu, Sepanggar kini melalui suatu perubahan pesat yang sangat deras dan ketara. Mata pencarian utama bukan lagi berasaskan hasil laut dan hasil tani. Sebaliknya, wujud suatu gelombang perubahan melibatkan ekonomi buruh dan sumber manusia yang sangat merisaukan. Jika tidak diselaraskan pembangunan sedia ada, nescaya wujud masalah pengangguran, sekaligus memberi kesan kepada kehidupan sosial. Sebagai sebuah kawasan yang sangat sinonim dengan Bandaraya Kota Kinabalu itu sendiri dari segi sempadan dan pusat industri, maka Sepanggar wajar berwajah baharu.
Sepanggar sebagai hab kreatif perlu direalisasikan. Idea ini adalah mengambilkira akan wujudnya sokongan ekosistem sedia ada. Di Sepanggarlah letaknya pusat industri KKIP, pusat pendidikan pengajian tinggi seperti UMS, UiTM, Politeknik, dan lain-lainnya. Malah, selaku kawasan yang terkandung dalam Malaysia Super Corridor (MSC), Sepanggar mendapat liputan jalur lebar (internet) berkeupayaan tinggi. Koridor Pembangunan Sabah turut memasukkan Sepanggar dalam perancangannya. Justeru, semua kelebihan ini melahirkan suatu ekosistem yang sewajarnya mampu menjayakan idea yang dicetuskan. Berdasarkan kepada kesungguhan kerajaan sedia ada dan karisma YAB Datuk Seri Musa idea ini hanya menunggu masa untuk menjadi kenyataan. 
Industri kreatif merupakan salah satu daripada dimensi baharu yang turut diberi perhatian serius oleh negara. Dari segi definisinya, industri kreatif dikatikan dengan industri-industri yang melibatkan kreativiti individu, keterampilan, dan bakat yang mempunyai potensi menjana kekayaan serta penciptaan peluang pekerjaan melalui penggalakan dan eksploitasi harta intelek (DIKN, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia). Sejak industri terbukti mampu menghasilkan pulangan keuntungan KDNK negara mencecah RM9.4 bilion pada tahun 2008, yang turut menjana ekonomi berpendaptan tinggi dan memartabatkan budaya bangsa, maka kerajaan telah mengkaji halatuju industri ini dan signifikasinya dalam pembangunan negara. Justeru, lahirlah Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) bagi menetapkan prinsip-prinsip asas pembangunan industri kreatif. Dasar ini adalah berteraskan kepada tiga skop utama iaitu, multimedia, seni budaya dan warisan budaya. Secara spesifik kandungan industri adalah sebagaimana berikut;
1)  Industri Kreatif Multimedia – penerbitan filem dan tv; pengiklanan;        seni reka; dan animasi dan kandungan digital.
2)  Industri Kreatif Seni Budaya – kraf; seni visual; seni muzik; seni persembahan; penulisan kreatif; dan fesyen dan tekstil.
3)  Industri Kreatif Warisan Budaya
Ketiga-tiga skop ini akan memenuhi keperluan, dan pembangunan industri yang berkaitan. Dengan adanya dasar ini, maka cabang-cabang industri kreatif seperti multimedia, fesyen dan tekstil, kraf, pengiklanan dan sebagainya dapat diperkasakan dan mampu dimakmurkan lagi. 
Kewujudan DIKN bakal memberi keyakinan kepada generasi muda untuk berkarya menghasilkan produk atau perkhidmatan yang mampu menjana pendapatan jangka panjang dan memenuhi permintaan luar negara. Kemuncak kepada gagasan awal mempromosi industri kreatif negara adalah sebagaimana yang disebutkan oleh YAB Perdana Menteri sewaktu membentang Bajet 2010. Bajet ini menjelaskan bahawa kerajaan telah  menyediakan Dana Industri Kreatif bernilai 200 juta ringgit bagi membiayai aktiviti-aktiviti industri kreatif seperti pengeluaran filem dan drama, muzik, animasi, pengiklanan dan pembangunan kandungan tempatan. 
Dalam memacu negara ke kemuncak kemajuan, kreativiti dan daya pemikiran di luar kotak perlu dicambah dan diransangkan. Lantaran itu, industri kreatif wajar dimajukan lagi untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Industri ini meliputi seni persembahan dan muzik, reka bentuk, animasi, pengiklanan dan pembangunan kandungan.” (Mohd Najib Tun Abdul Razak, 2010)

Perancangan yang sistematik ke arah merealisasikan idea ini memerlukan sumbangan kepakaran institusi penyelidikan, khususnya dari Universiti Malaysia Sabah, selaku IPTA terulung di negeri Sabah, yang juga menerajui kecemerlangan ilmu di kawasan Bandaraya Kota Kinabalu khasnya dan Sabah amnya. Sesuai dengan kedudukannya dalam perkarangan Sepanggar, UMS mempunyai tenaga kepakaran yang diperlukan. Di negara-negara maju, Universiti adalah pemangkin kepada pembangunan sebuah bandar, negeri dan negara. UMS tidak kurang sumbangannya. Selama penubuhannya, anak-anak masyarakat Sepanggar khususnya, mula bersaing rancak dalam usaha meningkatkan ilmu pendidikan mereka. Kesedaran ibu bapa terhadap pendidikan tinggi juga semakin meningkat. Selain, itu institusi pendidikan yang lain juga wajar tampil ke depan memberi input kepada cetusan idea ini.
Objektif asal kepada cetusan idea menjadikan Sepanggar sebagai hab kreatif negeri adalah untuk menyelesaikan masalah pengangguran dalam kalangan belia tempatan khususnya yang berada dalam kawasan Sepanggar dan daerah berdekatan Kota Kinabalu. Tiada gunanya jika kawasan maju tapi penduduk asalnya terpinga-pinga mencari pekerjaan. Persaingan ilmu pendidikan mungkin akan memberi kelebihan kepada mereka yang berpendidikan tinggi. Namun, berdasarkan pencapaian semasa, belia Sepanggar masih kurang berkemampuan untuk bersaing. Justeru itu, suatu bidang kerjaya yang turut memberi kelebihan kepada kemahiran wajar diperbanyakkan. Industri kreatif mampu memberi ruang kepada yang berkemahiran. Ini adalah kerana industri kreatif dibangun berasaskan bakat, kebolehan yang dirancang secara bersepadu oleh individu atau kumpulan bersumberkan nilai-nilai seni dan budaya tempatan, dan teknologi. Justeru, ini dilihat mampu mengimbangi syarat kelayakan dari sudut pendidikan formal yang bakal dikenakan. Inilah yang akan dijana menerusi idea pembangunan baru di kawasan Sepanggar sebagai hab kreatif negeri.
      Sumber ekonomi negeri tidak mampu bertahan lama. Suatu idea baru mempertingkatkan ekonomi negeri perlu difikirkan. Sepanggar mampu menjadi denyut nadi pembangunan negeri jika idea ini dicanai dengan segera dan mendapat sokongan kepakaran dari pihak yang berkenaan. Terdapat beberapa contoh kepada pembangunan industri kreatif. Ini boleh dilihat kepada apa yang sedang negera-negara maju lakukan di masa ini seperti di negara Amerika Syarikat, Jerman, England, Perancis dan Jepun. Singapura yang padat dan terhad pula telah pun memulakan fasa keduanya dengan meluaskan pembangunan industri kreatif di negara jiran. Untuk mendapat gambaran lebih jelas mengenai keupayaan industri kreatif dalam memangkin pembangunan sumber manusia dan ekonomi sesebuah negeri, bolehlah dirujuk kepada pembangunan Cyberjaya yang turut menempatkan Lim Kok Wing University, KRU Studios dan lain-lain serta Infinite Studio yang dibina oleh  syarikat Singapura di Pulau Batam Indonesia. Dengan sokongan semua pihak, kepimpinan YAB Datuk Seri Musa Hj Aman mampu menjulang Sabah khasnya sebagai salah satu hab kreatif di rantau ini. dalam  hubungan ini, idea kecil “Hab Industri Kreatif Sepanggar” perlu dijayakan dan akhirnya kawasan ini akan muncul sebagai pusat penjanaan ekonomi baru Sabah dengan jolokan "SEPANGGAR- The Heartbeat Of Sabah"

(New Sabah Times, m/s 8, 2 Februari 2015)