Wednesday, November 19, 2008

KAMPUNG SAYA











Di sini saya kongsi bersama pembaca tentang kampung halaman saya iaitu Kg. Kibagu Kuala Menggatal. Kampung ini terletak lebih kurang 19km dari bandar Kota Kinabalu yang dihubungkan oleh sebatang jalan raya yang agak daif.

Simpang masuk ke jalan kampung bermula dari 1Borneo(lebih kurang selepas 100 meter melepasi bangunan Mall) sebelah kiri jika dari arah KK ke Tuaran. Dari simpang tersebut bermulalah perjalanan mencabar sepanjang 7KM hingga ke kampung.

Sebelum tiba ke kampung saya, saudara akan melalui beberapa buah kampung iaitu Kg. Penampang Baru, Kg. Suang Parai, Kg. Binolung, Kg. Begoon, Kampung Numbak dan Kg. Selimbangun.

Kg. Suang Parai, Kg. Binolung dan Kg. Begoon sudah tidak wujud sekarang kerana telah termasuk ke dalam kawasan UMS. Penduduk asal telah ditempatkan ke perumahan bersebelahan Kg. Penampang Baru dan Kg. Delima Melayu.

Terdapat lebih kurang 5,000 orang penduduk yang tinggal di Kg. Numbak(di sini terdapat penempatan penduduk Kg. Sabang, Kg. Lok madas dan Lok Buta yang dipindahkan kerana kampung asal mereka dijadikan pengkalan tentara laut) dan Kg. Selimbangun(di sini pula ditempatkan perumahan Ko-Nelayan), termasuklah Kg. Kibagu.

Bayangkan dengan jumlah penduduk seramai ini yang menjadi pengguna jalan tersebut... Inilah jalan yang dilalui oleh penduduk untuk ke tempat kerja dan ke sekolah.

Keadaan bertambah rumit apabila tiba musim hujan. Terdapat beberapa bahagian yang becak teruk menjadikannya agak sukar dilalui oleh kenderaan kecil. Kadangkala berlaku tanah runtuh di bahagian lereng bukit. Jika keadaan ini berlaku, penduduk terpaksan tinggalkan kenderaan di mana ia 'sangkut' dan terpaksa berjalan kaki berkilometer jauhnya untuk sampai ke rumah.

Namun keadaan ini terpaksa diharungi kerana inilah hakikatnya 'kampung pedalaman di dalam bandar'. Ia lebih baik daripada keadaan kami ketika bersekolah dahulu..Kampung ini dihubungkan dengan kawasan pekan dan bandar KK dengan menaiki bot.

Bila tiba di Kg. Kibagu anda akan lupa sejenak debaran yang dirasai ketika mengharungi perjalanan tadi. Sebaik sahaja kereta menuruni bukit terakhir anda akan tergamam seketika melihat pantai yang menyambut ketibaan anda.

Suatu ketika dahulu pantai ini mempunyai pasir yang putih dan bersih. Namun kini keadaan sudah banyak berubah. Pantai ini telah mengalami hakisan yang teruk akibat terdedah kepada fenomena ombak besar yang kerap berlaku sejak akhir-akhir ini.

Bukan sekadar pantai tersebut yang menjadi mangsa, penduduk kampung juga terpaksa mencari perlindungan di kawasan bukit apabila menerima amaran air pasang dan angin kuat dari pihak berkuasa.

Biarpun begitu, kami damai di sini. Keadaan cemas dan getir hanya sebahagian kecil dari kebanyakan masa yang ada. Ketika air tenang, bulan mengambang atau ketika matahari terbit dan terbenam...Membuatkan kami lupa kepayahan hidup yang dilalui setiap hari. Penduduk yang bekerja sebagai nelayan tetap tabah menghadapi hari-hari tersebut. Ketenangan inilah yang membuatkan kami terus tabah dan sentiasa percaya bahawa 'harapan masih ada di hadapan'.

Teruskan perjuangan!








7 comments:

  1. jika berkesempatan saya akan lawat kampung kibagu. - orang bandar

    ReplyDelete
  2. Baca catatan btoe ni buat aku rindu zaman dulu...balik asrama naik bot, pg kk pun naik bot..paling x boleh lupa kalau sepanjang jalan g kk di awal pagi (ikut baba hehee), boleh tengok pemandangan ikan2 & batu karang d bawah permukaan laut yg dalam...kampung yg terpelihara dari bunyi bising d kota, tapi tidak pernah sunyi dari bunyi alam semulajadi..bangun pagi, tersedar oleh kicauan burung, waktu tengahari atau petang, bunyi cengkerik...kalau hujan malam, bunyi katak yg bergema, dan yg paling best bunyi deru ombak waktu air pasang...wahh bestnya....bangga jadi anak kelahiran kg. kibagu yg tercinta;)

    ReplyDelete
  3. Saudara KP,

    Kenapa kampung KP masih mundur macam luar bandar sedangkan kampung KP dalam bandar?

    Siapa yang tidak buat kerja? KP atau YB atau kerajaan?

    Urus kampung sendiri dulu KP baru urus kampung orang lain. Kalau KP asyik fikir kampung lain sampai bila kampung KP begini. Kan KP ramai AJK yang bantu. Nah KB baru ni kan hebat. Kirim salam pada KB baru. Boss lama saya, Jumat Idris.

    jomo kampung

    ReplyDelete
  4. Kampung Kibagu satu nama yang letaknya di pesisiran pantai begitu indah dipandangan mata.Penduduknya yang terdiri nelayan menjadikan kampung ini rata-ratanya nelayan sebagai pekerjaan tetap. Tetapi sayang Kampung Kibagu Masih jauh ketinggalan dari arus permodenan entah salah siapa? Adakah pihak yang berwajib hanya memajukan kampung yang hanya ada kepentingannya sahaja atau bagaimana persoalannya....Saya agak terkilan juga hanya 7 km jaraknya dengan One Bernoeo yang menjadi kebanggan Sabah ,Kg. Kibagu belum juga mendapat impak kemajuan. Sebagai contoh Jalan rayanya yang tak berturap menjadikan kampung ini seumpama sebuah kampung yang jauh nuh di pedalaman, sedangkan suatu ketika dahulu sebut sahaja Nabawan dalam daerah Keningau orang gerun mendengarnya kerana jalan perhubungannya yang sukar tetapi kini sebaliknya Kg.Kibagu, Numbak, Selambangon yang seakan-akan jauh nun di pelusuk pedalaman. Kepada pihak yang berwajib bukalah mata ,lihatlah sendiri apa yang perlu dilakukan...dan kepada penduduk yang terlibat jangan putus asa perjalanan kita masih jauh teruskan usaha anda setiap perkara itu pasti ada hikmahnya...Oh...Kampung Kibagu.

    ReplyDelete
  5. Apa pun jangan kita mudah mengalah perjalanan masih jauh teruskan usaha kita suatu hari nanti pasti ada jalan penyelesaiannya..Hidup Kampung Kibagu

    ReplyDelete
  6. Ndak tau bila lah jalan raya kg kibagu ni kena bikin tunggu bn kalah di N12 Karambunai keli.Kerajan mcm ndak peduli kg ni penduduk kg numbak kibagu selambangun perlu 1 hati dlm pilihanraya kali ni agar suara kita di dengar oleh YB di kawasan ni yang tidak peduli dgn kesengsaraan penduduk kg.

    ReplyDelete
  7. ya..kebagu,selimbangun dan numbak...laluan ku kesekolah..setiap kali berdiri di puncak bukit tertinggi..kiri kanan depan belakang boleh lihat semuanya..sayang...kampungku sudah tiada (begoon)..di belakang...matahari terbit betul2 di atas gunung kinabalu..di hadapan matahari terbenam betul2 di atas permukaan LAUT..

    ReplyDelete