Pendahuluan
Kg Kebagu dan Kg Numbak Kuala Menggatal merupakan dua buah kampung tradisi yang terletak di Daerah Kota Kinabalu di kawasan Dewan Undangan Negeri N.12 Karambunai dan Parlimen P.171 Sepanggar.
Kg Kebagu mempunyai kira-kira 45 buah rumah dan penduduk dianggarkan seramai 300 orang. Di kampung ini terdapat sebuah sebuah sekolah rendah yang menampung keperluan penduduk Kg Kebagu dan Kg Numbak.
Sejak pemindahan penduduk Kg Sabang, Kg Lok Madas, Kg Lok Buta dan Kg Lok Poring ke Kg Numbak akibat pembinaan Pengkalan Tentera Laut Sepanggar, Kg Numbak terbahagi kepada 3 bahagian iaitu: Bahagian pertama adalah rumah asal dan rumah skim penempatan Ko-Nelayan yang mengandungi 210 buah rumah. Bahagian kedua adalah penempatan semula penduduk Kg Sabang, Kg Lok Madas dan Kg Lok Buta yang mengandungi sebanyak 433 buah rumah. Manakala bahagian ketiga pula adalah penempatan semula penduduk Kg Lok Poring yang mengandungi sebanyak 138 buah rumah. Ketiga-tiga bahagian di Kg Numbak ini dianggarkan mempunyai penduduk seramai 4500 orang.
Sebelum dihubungkan oleh jalan raya penduduk kedua-dua kampung ini menggunakah pengangkutan laut dan sungai untuk pergi ke Kota Kinabalu dan Pekan Menggatal melalui Sungai Menggatal dan Sungai Unggun.
Kini, satu-satunya jalan yang menghubungkan kampung ini dengan jalan besar ialah Jalan YS Kg Kibagu ke Sulaman Highway.
Jalan inilah yang menjadi nadi utama untuk menghubungkan kedua-dua kampung ini dengan Pekan Menggatal dan Bandaraya Kota Kinabalu di mana penduduk kampung bekerja, berniaga dan mendapatkan bekalan keperluan harian. Biarpun begitu masih ada juga penduduk yang masih menggunakan laluan laut terus ke Bandaraya Kota Kinabalu terutamanya golongan nelayan yang menghantar terus hasil tangkapan mereka.
Biarpun jalan yang sedia ada kurang memuaskan dan memerlukan penyelenggaraan dari masa ke semasa akibat sering rosak oleh penggunaan yang kerap, Keadaan ini semakin bertambah buruk apabila tiba musim hujan. Jalan licin di bahagian curam dan becak teruk di bahagian rendah.
Tidak cukup dengan itu, ibarat jatuh ditimpa tangga, ibarat parah ditambah luka, perbuatan yang tidak bertanggungjawab pemaju dan kontraktor 1Borneo melonggokkan tanah dan bahan buangan sisa binaan di sepanjang jalan tersebut semakin menjadi-jadi. Kegiatan ini telah berlaku sejak mula pembinaan megamall tersebut.
KES
Kegiatan membuang tanah dan sisa bahan binaan(konkrit, batu, besi, kayu dan lain-lain) di sepanjang jalan ke Kg. Kibagu dan Kg. Numbak Kuala Menggatal.
Persoalan:
Adakah pemaju 1Borneo mendapat kebenaran dari pihak berkenaan berbuat demikian seperti dari Dewan Bandaraya Kota Kinabalu(DBKK), Jabatan Perlindungan Alam Sekitar(JAS) dan pemilik tanah tersebut(samada tanah kerajaan atau persendirian)?Ini kerana alasan pekerja yang ditemui membuang tanah di situ menyatakan tanah tersebut dibuang ke situ untuk meninggi dan meratakan kawasan tersebut atas permintaan tuan tanah.
Akibatnya:
Lori besar yang mengangkut muatan tanah dan sisa binaan bangunan tersebut telah merosakkan jalan kampung menyebebkan jalan tersebut sukar dilalui oleh kenderaan biasa. Keadaan semakin buruk pada musim hujan.
Muncul pula kegiatan sampingan setinggan yang tinggal di sekitar kawasan binaan 1Borneo. Antaranya ialah kegiatan mencari besi dan papan buangan. Besi dikutip untuk dijual manakala kayu dan papan digunakan untuk membina rumah setinggan.
Timbunan tanah yang banyak akan dihanyutkan ke sungai berhampiran apabila musim hujan. Kejadian ini akan menyebabkan sungai semakin cetek dan sempit mengakibatkan banjir sering berlaku di kawasan berkenaan.
TERJEJAS
kes yang dilakukan oleh pemaju dan kontraktor 1Borneo telah menjejaskan perhubungan penduduk kampung dengan bandar dan pekan terdekat. Penduduk yang terjejas ialah:
Kg Kebagu 45 buah rumah, Kg Numbak Skim Penempatan Ko-Nelayan 200 buah rumah
Kg Numbak Penempatan Kg Sabang,Lok Buta,Lok Madas 33 buah rumah, Kg Lok Poring 138 buah
JUMLAH 816 BUAH RUMAH
Anggaran bilangan penduduk yang terjejas 5000 orang
HARAPAN
1. Projek menaiktaraf jalan ini akan segera dilaksanakan oleh kerajaan berdasarkan keperluan dan keadaan yang semakin mendesak. Sistem perhubungan yang baik ini diharapkan akan dapat memperbaiki ekonomi dan produktiviti masyarakat kampung yang terlibat dengan pendapatan isi rumah yang semakin meningkat kerana peluang pekerjaan dan perbiagaan semakin terbuka luas.
2. Pemaju dan kontraktor 1Borneo segera menghentikan kegiatan yang tidak bertanggungjawab mereka dan membaiki kerosakan yang telah dilakukan sementara projek menaik taraf jalan tersebut dilaksanakan oleh pihak kerajaan.
3. Kewujudan Kompleks Membeli belah mega 1Borneo akan memberi impak yang positif kepada perkembangan sosio ekonomi masyarakat setempat seperti peluang pekerjaan dan perniagaan.
(Artikel ini saya pernah terbitkan dalam www.cebagoo.today.com pada 12 Mac 2008 dengan tajuk Jln. YS Kg. Kibagu Menderita. Artikel ini adalah gambaran pada ketika itu. Kini, setelah 1Borneo telah siap dan beroperasi masalah lori kontraktor 1Borneo telah selesai. Tetapi MASALAH BARU IALAH KEGIATAN LORI PROJEK TAPAK BINAAN HOSPITAL DAN SEKOLAH PERUBATAN UMS yang mengangkut tanah menggunakan jalan tersebut mengakibatkan jalan rosak teruk)